Nga Hock Cheh

KUALA LUMPUR – Senator Nga Hock Cheh yang teruk dikecam berhubung cadangannya supaya kerajaan menggugurkan status kaum dalam kad pengenalan hari ini mempertahankan dirinya dengan mendakwa kenyataan yang dibuat di Dewan Negara telah disilap tafsir dan salah faham.

Berdasarkan hansard Parlimen, muka surat 69, Nga berkata, beliau mengemukakan kenyataan seperti berikut pada 24 April:

“Tuan Yang di-Pertua, untuk memperkukuhkan perpaduan kita mesti faham sebab-sebab yang menghalang perpaduan di negara kita. Antara contoh, seorang bayi apabila dia dilahirkan, dia diberikan identiti mengikut kaum. Dia tidak diberikan identiti nasional. Kalau boleh dari sejak kecil, dia menganggap sendiri sebagai seorang warganegara Malaysia. He sees himself as a Malaysian. Isu perkauman tidak akan timbul”.

Bagaimanapun, katanya, Senator Datuk Megat Zulkarnain Omardin dalam ucapannya di Dewan Negara pada 25 April (mengikut hansard) adalah:

“Akan tetapi semalam saya terdengar perbahasan rakan-rakan kita ada seorang Ahli Yang Berhormat yang cuba membawa isu yang tidak sepatutnya kita bincangkan dalam Dewan ini. Antaranya yang disebut dalam Hansard ini yang saya baca dalam Hansard ini, “Bagi untuk memperkukuhkan perpaduan, jalan mudahnya ialah untuk menggugurkan cadangan menggugurkan apabila lahirnya seorang bayi maka
digugurkan identiti mengikut kaum”. This is the very dangerous statement (kenyataan yang sangat bahaya) di Dewan yang mulia ini”.

Nga mendakwa Megat tidak hadir semasa dia menyampaikan ucapannya dan jelasnya ayat yang ditonjolkan itu bukan sebahagian daripada ucapannya.

Ahli Jawatankuasa Negeri DAP itu berkata, ucapan (yang diketengahkan) itu telah tersilap tafsir kenyataannya kerana ada maklumat yang salah daripada pihak Megat.

Malangnya, kata Nga, media juga telah tersilap lapor ucapan tersebut.

“Saya telah menyatakan pandangan bahawa bayi yang lahir di negara kita mestilah diberi identiti kebangsaan dan bukan identiti kaum.

“Penekanan saya ialah identiti melalui kewarganegaraan (Malaysia) dan bukan identiti oleh kaum. Saya tidak membuat apa-apa kenyataan mengenai agama. Saya juga tidak membuat cadangan bahawa agama digugurkan dalam kad pengenalan pendaftaran negara, seperti yang didakwa,” katanya dalam satu kenyataan.

Malah, Nga menyifatkan amat malang apabila cadangannya untuk mempromosi penyatuan nasional telah disilap tafsir dan diputar belit oleh pihak tertentu untuk tujuan politik dan/atau alasan yang hanya mereka sahaja yang tahu, dengan mengorbankan kebenaran dan martabat Dewan Negara dan kepentingan negara.

Lantaran itu, Nga meminta pihak-pihak terlibat yang telah tersilap tafsir kenyataannya untuk melakukan pembetulan.

Berhubung kenyataannya yang mahu kerajaan mempertimbangkan untuk mewujudkan kedutaan di Palestin dan Israel, Nga menarik balik kenyataan tersebut.

Bahkan, beliau memberitahu telah memohon maaf semasa menjelaskannya di Dewan Negara pada 25 April lalu.

Nga mengakui telah mencadangkan supaya kedutaan Malaysia diwujudkan di Palestin dan Isral apabila ada cadangan supaya ia ditubuhkan di Palestin.

Katanya, cadangan itu membolehkan Malaysia membantu keamanan di dua wilayah yang bergolak itu.

“Dengan tujuan untuk membantu Palestin mencapai keamanan, niat saya adalah untuk mencadangkan perubahan dalam pendekatan semasa negara kita, dengan harapan dapat menandatangani perjanjian damai antara Palestin dan Israel.

“Bagaimanapun, memandangkan ia adalah perkara sensitif dan untuk mengelakkan kesalahan dan salah faham, saya dengan ikhlas dan secara sukarela telah memohon maaf semasa penjelasan saya di Dewan Negara pada 25-4-2019 dan ingin menarik balik kenyataan itu. – MalaysiaGazette