Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Dewan Negara diberitahu nilai ringgit dipengaruhi oleh kuasa pasaran dunia, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Menurut beliau, dalam keadaan pasaran kewangan global yang tidak menentu, kadar pertukaran ringgit yang fleksibel memainkan peranan yang penting sebagai penyerap kejutan luaran di samping mengurangkan impak terhadap aktiviti ekonomi domestik.

“Kerajaan terus komited dan fokus dalam usaha melaksanakan polisi struktural yang berupaya meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan daya saing negara bagi menarik aliran masuk dana dan pelaburan asing yang akan menyokong pengukuhan nilai ringgit.

“Perkara ini termasuk dasar untuk menambah baik iklim pelaburan dan produktiviti Malaysia menerusi pelaksanaan Dasar Pelaburan Baharu (New Investment Policy – NIP),” katanya dalam sesi soal jawab hari ini.

Ahmad berkata demikian menjawab pertanyaan Senator Datuk Shamsuddin Abd Ghaffar yang ingin tahun apakah yang menjadi punca nilai mata wang ringgit masih rendah berbanding nilai mata wang USD dan mata wang utama dunia serta apakah usaha bagi mengatasi masalah itu.

Ahmad berkata, kejatuhan kadar pertukaran ringgit yang dialami pada tempoh terdekat ini sebahagian besarnya didorong oleh pengukuhan dalam dolar Amerika Syarikat (AS).

Selain ringgit, nilai mata wang serantau seperti yen Jepun, baht Thailand, won Korea, renminbi China dan peso Filipina turut menyusut berbanding dengan dolar AS pada tahun ini.

“Walaupun terdapat mata wang jiran yang menunjukkan prestasi lebih baik berbanding dolar AS namun, negara-negara tersebut telah mengetatkan dasar monetari dengan lebih agresif,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ahmad berkatam kerajaan juga akan memastikan kemampanan fiskal dan keadaan makroekonomi yang stabil terpelihara dengan merumus dasar fiskal jangka sederhana yang teguh, berhemah dan jelas.

Daripada sudut pentadbiran dasar fiskal, Akta Tanggungjawab Fiskal (Fiscal Responsibility Act – FRA) yang akan dibentangkan kepada Parlimen akan memacu penambahbaikan yang diperlukan.

“Langkah-langkah ini berserta dengan kestabilan politik negara, dijangka dapat meningkatkan daya tarikan jangka panjang Malaysia kepada pelaburan langsung asing (foreign direct investment – FDI) berkualiti yang akan menyumbang kepada penciptaan perkerjaan berkemahiran tinggi serta berpendapatan tinggi,” kata Ahmad lagi. – MalaysiaGazette