Pas mendakwa laporan yang disiarkan NST ini mengelirukan rakyat.

KUALA LUMPUR – Pas mendesak akhbar berbahasa Inggeris, New Straits Times (NST) meminta maaf kepada presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana mendakwa telah menyiarkan kenyataan yang mengelirukan.

Setiausaha Akhbar Presiden Pas, Abdul Malik Ab. Razak berkata, walaupun Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan telah menafikan salah lapor berita berkenaan tetapi NST dikatakan masih berdegil melaporkannya.

“Laporan yang disiarkan itu telah menimbulkan kekeliruan daripada maksud sebenar sehingga diambil kesempatan oleh Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) serta portal berita lain untuk menyerang presiden.

“Namun, NST tetap berdegil melaporkan kekeliruan sekali lagi dalam beritanya hari ini. Ia menunjukkan sikap prejudis akhbar itu terhadap Islam,” katanya dalam kenyataan ringkas kepada media  hari ini.

Menurut Abdul Malik, akhbar berkenaan perlu bertanggungjawab atas apa yang berlaku dan Pas menggesa wartawannya memohon maaf secara terbuka dengan kadar segera.

NST pada 24 Disember lalu menyiarkan sebuah artikel berhubung kenyataan Abdul Hadi mengenai kabinet Islam menerusi tajuk: “Pas President: All-Malay cabinet members for Malaysia”. – MalaysiaGazette