P. Waytha Moorthy
P. Waytha Moorthy

KUALA LUMPUR – Masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia mempunyai hak yang sama di sisi undang-undang dan nenek-moyang mereka adalah penduduk asal dan pertama di negara ini.

Mahkamah tertinggi Malaysia telah pun mengiktiraf dan berulang kali menegaskan hak tanah adat atas faktor-faktor kedudukan istimewa orang Orang Asli di bawah Perkara 8 (5) (c) Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy berkata, Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab untuk melindungi masyarakat pribumi ini, yang mana kebajikan Orang Asli terletak dibawah tanggungjawab dan kuasa Kerajaan Persekutuan berbeza daripada kerajaan negeri (Jadual Kesembilan, Senarai Persekutuan No. 16- – FC).

Hak-hak adat yang dinikmati oleh Orang Asli sebagai penduduk pertama di Semenanjung Malaysia terus wujud dan tidak boleh dipadamkan dengan mendakwa ia menjadi tanah negeri, penciptaan tanah rizab, pemberian pajakan atau lesen kepada pihak ketiga atas alasan yang tanah tersebut dimiliki oleh kerajaan negeri.

Hak adat itu sendiri adalah satu bentuk undang-undang tidak bertulis.

“Tidak munasabah untuk menganggap bahawa adat yang tidak mempunyai kuasa undang-undang semata-mata kerana ia tidak termaktub dalam undang-undang kerajaan negeri. Walaupun tidak termaktub, ianya tidak bermakna hak-hak adat Orang Asli tidak wujud sama sekali.

“Tidak syak lagi bahawa pentadbiran negara sebelum ini walaupun mempunyai kuasa tetapi kekurangan kesungguhan politik dan telah gagal untuk menangani isu-isu tanah adat masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Waytha Moorthy, dengan pembaharuan yang dibawa oleh kerajaan Pakatan Harapan,masyarakat Orang Asli akan diberikan segala bantuan yang diperlukan untuk menguatkuasakan hak-hak adat mereka dan hak tersebut wujud bersama-sama dengan undang-undang berkanun dan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga menggesa kerajaan Kelantan menimbang semula kedudukannya dalam mengabaikan kedudukan Orang Asli dan hasrat mereka untuk melaksanakan hak-hak bagi pemilikan tanah adat masyarakat pribumi. – MalaysiaGazette