Menteri Wilayah Persektuan, Khalid Abdul Samad bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan (dua kiri), Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim (kiri) mendengar sesuatu yang diperkatan oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr. Tan Yee Kew (kanan) pada sidang media berkenaan “Tapak Uptown Danau Kota” di Bilik Mesyuarat, Menara DBKL, Kuala LUmpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 17 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang menyamar menjadi ‘orang tengah’ antara peniaga Bazar Larut Malam Danau Kota dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ditahan oleh polis baru-baru ini.

Individu tersebut ditahan kerana didakwa mengganggu penjawat awam daripada menjalankan tugas dalam satu insiden di bazar berkenaan baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, individu terbabit juga telah melakukan provokasi kepada sekumpulan penguat kuasa dan disebabkan itu polis telah mengambil tindakan.

“Tindakan menahan individu terbabit turut dibuat selepas dia menimbulkan satu perkara yang diluar jangkaan hingga boleh menggugat keselamatan orang lain.

“Kita siasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas di bawah Seksyen 509 akta yang sama kerana melakukan ugutan.

“Kita ingin memberi nasihat agar semua pihak tidak melakukan perkara-perkara yang tidak dingini terutama yang melibatkan keselamatan.

“Pihak polis akan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang melakukan perkara yang tidak sepatutnya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Turut hadir pada sidang media yang sama ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Dr Tan Yew Kew.

Menurut Mazlan lagi, individu yang ditahan itu juga merupakan pihak yang telah dikatakan sudah lama mengaut keuntungan haram hasil daripada kutipan bayaran yang dibuat ke atas para peniaga di bazar berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim

Ujarnya, polis telah menyiapkan kertas siasatan bagi kes itu dan akan diserahkan kepada timbalan pendakwaraya sama ada mahu mendakwa individu terbabit atau sebaliknya.

Terdahulu, dalam sidang media sama, Khalid juga memaklumkan, tugas penguat kuasa DBKL telah diganggu oleh beberapa individu yang membantah proses pemindahan Bazar Larut Malam Danau Kota ke Bazaria Wangsa Maju yang terletak di Taman Setapak Indah.

Individu-individu terbabit bukan penjaja di bazar berkenaan sebaliknya orang luar yang berkepentingan sebagai orang tengah mengaut untung dengan mendapatkan bayaran sewa daripada para penjaja, katanya.

Lebih mendukacitakan lagi, individu-individu terbabit telah memainkan sentimen kaum dengan mengaitkan pemindahan bazar berkenaan.

“Mungkin ini telah menjadi mata pencarian untuk beberapa tahun. Bila kita datang nak ubah, nak letak cara yang lebih tersusun dengan sewa tapak dan lesen direct dengan DBKL tanpa adanya orang tengah, kita hadapi bantahan yang sebegitu.

“Hanya bila viral video itu ianya sekali lagi dijadikan isu perkauman. Inilah yang saya nak pesan khususnya kepada warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, jangan terpengaruh dengan isu-isu perkauman dan slogan Melayu atau sebagainya. Apa yang kita nak buat adalah untuk semua kaum,” ujar Khalid.

Katanya, semua yang dilakukan oleh DBKL adalah untuk kesejahteraan peniaga dan mereka akan mendapat suasana perniagaan yang lebih baik serta selesa termasuk kemudahan lalu lintas.

Sementara itu, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yew Kew mendedahkan, sebelum ini ada penjaja di bazar larut malam di Danau Kota membayar sehingga RM1,500 sebulan kepada orang tengah yang kononnya mewakili persatuan peniaga untuk mengutip sewa.

Katanya, orang tengah itu mampu mencapai keuntungan sehingga hampir setengah juta ringgit daripada keseluruhan penjaja yang membayar kepadanya setiap bulan.

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr. Tan Yee Kew

Pemindahan tapak penjaja dilaksanakan bagi tujuan menyelesaikan isu aduan penduduk terhadap kewujudan bazar larut malam berkenaan yang dikatakan telah menimbulkan kacau ganggu terhadap lalu lintas dan kebersihan kepada penduduk sekitar Taman Danau Kota dan taman-taman perumahan serta apratmen yang berhampiran. – MalaysiaGazette