Hujan dan angin kencang menyebabkan tanah runtuh serta pokok tumbang sehingga mengganggu lalu lintas.

PULAU PINANG – Sekurang-kurangnya 100 penduduk daripada 34 buah keluarga di Teluk Kumbar di sini terpaksa dipindahkan pagi ini selepas rumah mereka dinaiki air ekoran hujan lebat sejak tengah malam tadi.

Mereka terdiri daripada penduduk di beberapa buah kampung yang terjejas antaranya Kampung Suluk; Kampung Paya dan Kampung Nelayan.

Kesemua mereka ditempatkan di pusat pemindahan Dewan Masyarakat Teluk Kumbar yang dibuka sejak pukul 9 pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri, Pang Ah Lek berkata, lebih ramai penduduk dijangka dipindahkan di pusat pemindahan tersebut berikutan keadaan banjir yang semakin buruk.

Malah, Jabatan Metreologi Malaysia turut meramalkan hujan di negeri ini dijangka berterusan dengan air laut pasang diramal melanda selepas pukul 12 tengah hari ini.

Bagaimanapun, keadaan banjir kilat setakat ini masih terkawal meskipun beberapa kejadian pokok tumbang dan menghalang jalan dilaporkan berlaku di Balik Pulau dan Teluk Kumbar.

Banjir kilat pagi ini berlaku selang seminggu selepas ribuan penduduk Jumaat lalu terjejas ekoran banjir kilat yang menenggelamkan lebih 100 kawasan di negeri ini.

Bencana itu yang disifatkan terburuk sejak beberapa tahun kebelakangan ini turut menyaksikan kejadian tanah runtuh di lereng bukit yang menghempap kenderaan selain seorang wanita maut selepas di hanyutkan arus deras di Bayan Lepas di sini. – MalaysiaGazette