TAPAH – Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mengambil langkah membawa masuk pemain import baharu dari Lebanon iaitu Hussein El Dor bagi memperkukuhkan skuad The Bos Gaurus.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pemain posisi pertahanan berusia 25 tahun itu telah menandatangani kontrak sehingga akhir musim ini bagi menggantikan pemain import dari Australia, Zac Anderson yang terpaksa digugurkan akibat mengalami kecederaan lutut.

“Perkara (mengambil pemain import baharu) ini dibuat kerana kita mendapati Zac Anderson telah mengalami kecederaan yang mana mengambil masa untuk sembuh sepenuhnya.

“Jadi, bagi memastikan pasukan Perak dapat bersaing dalam Liga Super 2019 dan pertandingan yang lain, maka kita mengambil keputusan untuk menandatangani kontrak seorang pemain baharu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Wesak 2019 anjuran Persatuan Penganut Agama Buddha Temoh di sini, hari ini.

Sebelum ini, PAFA mengikat dua pemain import baharu dari Brazil iaitu Ronaldo Henrique Silva dan Raianderson Da Costa Morais selepas jendela perpindahan kedua Liga Bola Sepak Malaysia bagi musim 2019 dibuka pada 2 Mei lepas.

Ahmad Faizal, yang juga Menteri Besar Perak, berkata kedua-dua pemain setuju mengikat kontrak selama enam bulan dan berharap mereka dapat membantu skuad The Bos Gaurus memperbaiki kedudukan pasukan dalam kempen Liga Super 2019.

Ronaldo, 28, yang sebelum ini beraksi bersama pasukan Esporte Club di Brazil bakal menggantikan bekas penyerang, Gilmar Jose Da Silva yang terpaksa digugurkan akibat masalah prestasi.

Sementara itu, Raianderson, 23, bekas tonggak Atletico Acreano yang beraksi dalam Liga Brazil pula akan mengisi kekosongan ditinggalkan Wander Luiz Junior akibat masalah peribadi.– BERNAMA