Anina Saadudin
Pengasas Empirical Malaysia, Anina Saadudin
KUALA LUMPUR – Pelantikan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh yang dibuat tidak berdasarkan kelayakan punca wujudnya dakwaan pelanggaran perlembagaan parti itu.

Pengasas PPBM, Anina Saadudin berkata, tidak aneh jika PPBM melanggar perlembagaannya kerana Shahruddin sendiri didakwa melakukan banyak salah laku termasuk memalsukan watikah pelantikannya sebelum ini.

“Shahruddin adalah seorang office bearer yang tidak berkelayakan dalam pengurusan pentadbiran parti. Bukan sahaja tidak mampu secara intelektual malah mengamalkan pentadbiran politik korup.

“Apabila timbul isu perlembagaan parti dalam penganjuran Mesyuarat Agung PPBM, saya anggap ianya perkara ‘biasa’ bagi pentadbiran sebuah parti sampah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jumaat lepas, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sedang menyiasat lebih 400 adu­an yang diterima oleh jabatan itu berkaitan isu perhimpunan agung tahunan (AGM) pertama PPBM.

Ketua Pengarahnya, Surayati Ibrahim berkata, siasatan itu dijalankan dengan terperinci dan akan mengambil masa yang agak panjang.

Anina berkata, PPBM mampu merosakkan negara sekiranya masih mengamalkan salah laku seperti pemalsuan dokumen, pelanggaran perlembagaan dan pelantikan berdasarkan kronisme.

“Bayangkan apa yang akan terjadi jika parti ini diberi mandat besar untuk mentadbir negara selepas PRU14.

“Saya menggesa dan mendesak RoS untuk mengambil tindakan sewajarnya dalam menyiasat lebih 400 aduan yang diterima oleh institusi tersebut berkaitan isu terbabit,” katanya.

Anina selaku Presiden Empirical Malaysia juga menggesa rakyat membuat penilaian dengan bijak sebelum memangkah PPBM hanya berdasarkan janji politik semata-mata.

“Jangan menilai sesebuah perjuangan dari slogan dan teriakan semata-mata, tetapi nilailah rekod prestasi perkhidmatan kepada rakyat.

“Nilaikan dari mata hati, jangan menilai dari omokan dan dakyah politik,” katanya. – MalaysiaGazette.