Projek Lebuhraya Pan Borneo yang sedang giat dilaksanakan bukan sahaja bakal memudahkan pengguna jalan raya di Sarawak, malah sebuah kampung di Batu 36, Jalan Bintulu-Miri di sini bakal memiliki masjid baharu kesan positif pembangunan projek itu.
Projek Lebuhraya Pan Borneo.

BINTULU – Projek Lebuhraya Pan Borneo yang sedang giat dilaksanakan bukan sahaja bakal memudahkan pengguna jalan raya di Sarawak, malah sebuah kampung di Batu 36, Jalan Bintulu-Miri di sini bakal memiliki masjid baharu kesan positif pembangunan projek itu.

Pembangunan projek lebuh raya tersebut di kawasan itu menyebabkan surau Darul Falah di Kampung Wawasan Jaya yang dibina sejak 25 tahun lalu perlu dirobohkan.

Bercakap kepada Bernama, Ketua Kampung Wawasan Jaya, Bisnoor Mohamad Noor, 74, berkata berikutan itu sejumlah RM311,000 pampasan diberi sebagai ganti rugi dan sebuah masjid baharu akan dibina dengan kos RM650,000 dan baki kos itu ditampung menerusi peruntukan Jabatan Agama Islam Sarawak.

“Hasil perbincangan bersama penduduk kampung, Majlis Islam Sarawak dan Pejabat Daerah bersetuju untuk membina sebuah masjid baharu di sebidang tanah seluas satu ekar setengah (0.6 hektar) milik saya yang diwakafkan bagi tujuan tersebut.

“Pihak Lebuhraya Pan Borneo juga membantu kami seperti proses meratakan tanah serta mengangkut tanah. Perasaan saya sangat gembira kerana boleh mewakafkan tanah ini sebagai tapak masjid baharu, keputusan ini juga disambut baik oleh anak-anak serta anggota keluarga yang lain,” katanya.

Bisnoor berkata masjid baharu seluas 6,400 kaki persegi itu tersebut bakal memudahkan urusan kira-kira 600 penduduk dari Kampung Wawasan Rajawali dan Kampung Wawasan Jaya, kawasan penempatan masyarakat Bugis di situ untuk menunaikan solat, selain pengguna lebuh raya tersebut apabila siap nanti.

“Masjid bernilai kira-kira RM650,000 ini mampu menampung 1,700 jemaah berbanding surau lama yang hanya boleh memuatkan 200 orang. Reka bentuk masjid dibuat oleh anak lelaki saya Abdul Kadir yang juga seorang arkitek yang bekerja di sebuah firma perunding di Miri,” katanya.

Kira-kira sebulan yang lalu, kisah Bisnoor yang mewakafkan tanah tersebut untuk membina masjid menjadi tular di laman Facebook, berikutan itu pihaknya menerima sumbangan wang bagi membantu kelancaran pembinaan tersebut.

“Ada sekitar RM30,000 diterima hasil sumbangan orang ramai, ia dapat menampung serta menambah peruntukan sedia ada,” katanya yang bertanggungjawab membuka kampung tersebut sejak 1986.

Selain memiliki ruang solat, masjid baharu itu nanti akan turut dilengkapi tempat wuduk, tandas, stor, dapur dan tempat letak kereta apabila kerja pembinaan siap sepenuhnya yang dijadualkan hujung tahun ini.

Melihat potensi lokasi masjid tersebut, Bisnoor berkata selain beberapa lagi struktur tambahan seperti dewan untuk kemudahan penduduk kampung serta kedai untuk disewakan akan dibina seterusnya memberi pulangan kepada kepada masjid tersebut.

Sementara itu, Pegawai Agama Jabatan Agama Islam Sarawak Bahagian Bintulu, Azhar Hipni berkata pihaknya akan membantu penduduk kampung tersebut dari segi pengurusan seperti pelantikan iman, bilal dan jawatankuasa masjid apabila projek tersebut siap sepenuhnya nanti.

Lebuhraya Pan Borneo yang disifatkan sebagai projek kejuruteraan terbesar di Borneo merangkumi laluan lebih 2,000 kilometer dari Teluk Melano, Sematan di Sarawak sehingga ke Serudong, Tawau di Sabah.

— BERNAMA