Pemilik syarikat tenaga solar, Datuk Dr. Ir. Guntor Tobeng menerangkan tentang sistem solar PV bagi menjimatkan tenaga elektrik ketika di kediamannya di Subang Jaya, Selangor. Foto MOHD ADZLAN 14 JULAI 2023.

SUBANG – Cuaca panas sejak kebelakangan ini memang berbahang sehingga membuatkan orang ramai  terpaksa bergantung kepada penghawa dingin untuk tempoh panjang.

Ini tentu sekali ia menjadi antara faktor penyumbang kepada peningkatan bil elektrik bulanan.

Namun bagi yang ingin menjimatkan elektrik sehingga 90 peratus, pemasangan panel solar fotovoltaik (PV) adalah penyelesaian terbaik.

Bagi pemilik syarikat tenaga solar, Datuk Dr Ir. Guntor Tobeng, beliau telah memasang panel solar itu di kediamannya sejak tahun 2012 lagi.

Katanya, setiap bulan, beliau dapat menjimatkan bil elektrik kepada RM700 ke RM800 berbanding bil tanpa panel solar sekitar RM1,300.

Penjimatan itu berbaloi kerana kediamannya dihuni seramai lapan ahli keluarga dengan penggunaan 10 unit penghawa dingin setiap hari terutama pada waktu malam.

“Di samping menjimatkan bil elektrik bulanan, apabila anda memasang sistem panel solar di kediaman, ia sebenarnya akan menambah nilai hartanah di pasaran.

“Sebagai contoh, jika anda merancang untuk menjual rumah dilengkapi dengan sistem panel solar, pembeli sanggup membayar harga yang lebih tinggi.

“Hal ini kerana mereka mengetahui ia akan menguntungkan kerana tidak perlu membayar bil elektrik yang tinggi setiap bulan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di kediamannya semalam.

Kediaman pemilik syarikat tenaga solar, Datuk Dr. Ir. Guntor Tobeng yang memasang sistem solar PV bagi menjimatkan tenaga elektrik ketika di Subang Jaya, Selangor. Foto MOHD ADZLAN 14 JULAI 2023.

Mengulas lanjut, Guntor yang juga Pengarah Urusan Gading Kencana memberitahu, walaupun pelaburan awal untuk pemasangan solar dianggap tinggi namun untuk jangka panjang ia amat menjimatkan.

Bagi memudahkan pemasangan solar di rumah-rumah, pada masa ini terdapat pelbagai pakej untuk meringan beban pengguna termasuk melalui pembiayaan oleh bank dan melalui skim kad kredit.

Menurut beliau, berdasarkan maklum balas daripada mereka yang sudah menggunakan sumber tenaga itu, bil elektrik mereka setiap bulan memang sangat rendah dan mereka boleh menggunakan apa sahaja perkakasan elektrik termasuk pendingin hawa tanpa perlu bimbang bil melambung.

“Kita perlu akui jumlah penggunaan elektrik bagi mereka yang menggunakan pendingin hawa akan meningkat tinggi ditambah pula dengan cuaca panas.

“Jadi majoriti rumah di negara ini terpaksa memasang pendingin hawa dan sudah tentu itu akan menyumbang kepada peningkatan penggunaan elektrik.

“Bagi mereka yang menggunakan banyak elektrik yang ada tiga kipas dan empat pendingin hawa, alternatif untuk penjimatan jangka panjang adalah dengan memasang solar.

“Pengguna tenaga elektrik dari sumber solar ini terbukti menjimatkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada bil elektrik bulanan dan ada juga yang sampai 90 peratus,” katanya. – MalaysiaGazette

Pemilik syarikat tenaga solar, Datuk Dr. Ir. Guntor Tobeng menerangkan tentang sistem solar PV bagi menjimatkan tenaga elektrik ketika di kediamannya di Subang Jaya, Selangor. Foto MOHD ADZLAN 14 JULAI 2023.