Gambar hiasan

GUA MUSANG – Sekumpulan pekebun gusar apabila seekor lembu ternakan milik seorang daripada mereka ditemukan mati dengan kesan luka dipercayai ditusuk gading gajah liar di Kampung Awek, Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Terah, Jumaat lepas.

Mereka mendakwa kehadiran mamalia tersebut dikesan sejak dua minggu lepas di sekitar Kampung Lembaga dan RPT Sungai Terah apabila terdapat kerosakan terhadap kira-kira 200 pokok pisang dan sawit sepanjang tempoh berkenaan.

Pekebun di Kampung Awek, Nik Arifin Nik Muhammad, 59, berkata, beliau terkejut apabila dimaklumkan lembu betina peliharaannya yang ditambat, ditemukan mati oleh rakannya kira-kira 7 pagi.

“Saya sedih melihat bangkai lembu itu dengan kesan tikaman tiga inci di belakang badannya.

“Ini kejadian pertama semenjak saya mengusahakan kebun getah di kawasan ini hampir 15 tahun, disebabkan ini juga kami takut untuk keluar menoreh getah dan menuai hasil pisang untuk dijual,” katanya kepada pemberita di kebunnya di RPT Kesedar Sungai Terah di sini.

Seorang pekebun di Kampung Lembaga, Ismail Awang Hamad, 60, pula berkata kebunnya beberapa kali diceroboh gajah, malah beliau turut menyaksikan sendiri kehadiran haiwan tersebut di dalam kebunnya minggu lepas.

“Setakat ini lebih 100 pokok pisang dan 80 sawit saya musnah dirosakkan gajah itu. Terdapat juga tompokan najis dan kesan tapak kaki di serata kawasan kebun. Laporan telah dibuat kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada 27 Ogos lalu.

“Lebih 15 pekebun telah terjejas dengan masalah ini dan membuatkan kami takut untuk berada di kebun. Jadi kita berharap Perhilitan dapat memindahkan gajah ini secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Galas Mohd Syahbuddin Hashim berkata tindakan segera operasi menangkap gajah di kawasan terlibat perlu disegerakan bagi mengurangkan kerugian pekebun.

“Langkah penyelesaian perlu diambil oleh pihak kerajaan terutama membina parit gajah atau pagar gajah, memandangkan pelbagai operasi telah dilaksanakan sebelum ini termasuk memindahkan gajah yang masuk ke kebun di kawasan RPT Kesedar Sungai Terah dan Subong, namun isu ini tetap berulang,” katanya. – BERNAMA