Datuk Salahuddin Ayub
Datuk Salahuddin Ayub. foto HAZROL ZAINAL, 29 JUN 2019.

KUALA LUMPUR – Sebarang cadangan untuk mengambil pekerja asing dari Afrika bagi menampung keperluan tenaga kerja dalam sektor perladangan hanya boleh diputuskan selepas dibawa ke mesyuarat Kabinet.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, setakat ini beliau belum mendapat sebarang maklumat lanjut tentang cadangan tersebut dan percaya ia akan dibawa ke mesyuarat Kabinet akan datang.

“Apa pun keputusan, saya yakin Yang Berhormat Kula Segaran (Menteri Sumber Manusia) akan bawa perkara itu ke dalam Kabinet dan kita akan bincang dalam Kabinet.

“Setiap menteri, apa pun pandangan mereka ingin laksanakan di peringkat berkepentingan umum kepada kerajaan biasanya perkara itu akan dibawa ke Kabinet.

“Pandangan itu pun (Kula) belum muktamad lagi,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Parti Amanah Negara, di Taman Kejiranan Ayer Panas, Jalan Semarak, di sini, hari ini.

PAN
Presiden PAN yang juga Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu (tengah) bersama timbalannya merangkap Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub (dua kanan) beramah mesra dengan sebahagian tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Parti Amanah Negara (PAN) di Taman Kejiranan Air Panas, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 29 JUN 2019.

Beliau mengulas kenyataan Kula semalam bahawa kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mengambil pekerja asing dari Afrika bagi menampung keperluan tenaga kerja dalam sektor perladangan pada masa akan datang.

Menurut Kula, ini kerana pekerja asing dari Vietnam dan Indonesia tidak mahu lagi datang untuk bekerja di negara ini disebabkan gaji yang diterima tidak jauh berbeza dengan negara asal. – MalaysiaGazette