Malaysia Industrial Development Finance foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 04 FEBRUARI 2017.

KUALA LUMPUR – Pelabur asing membuat belian besar sejumlah RM1.76 bilion pada minggu lalu, angka yang tidak pernah dilihat sejak Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU ke-13) pada Mei 2013 berikutan keputusan pilihan raya tersebut.

MIDF Research berkata, belian bersih melebihi RM1 bilion direkodkan pada bulan Mac tahun lalu.

Firma penyelidikan itu berkata, para pelabur asing kini menjadi pembeli bersih di Bursa Malaysia selama enam minggu berturut-turut.

Setakat Jumaat lalu, belian bersih asing telah dilanjutkan selama enam hari dagangan dengan purata sepanjang tempoh itu adalah RM305 juta berbanding RM264 juta ketika dagangan Bursa Malaysia sengit pada Mac tahun lalu.

MIDF Research berkata, pembelian menjadi ‘kegilaan’ pada hari Jumaat apabila pelabur asing melakukan pembelian besar sejumlah RM816 juta.

Ia adalah dagangan tertinggi sejak 7 Mei, 2013 – dua hari selepas PRU ke-13.

“Penyertaan asing juga meningkat kepada satu pasaran yang tidak pernah dilihat sejak Mei 2013 dengan nilai purata dagangan harian (ADTV) melonjak kepada RM1.69 bilion, kenaikan sebanyak 71 peratus berbanding minggu sebelumnya,” kata firma itu dalam nota penyelidikannya.

Kehadiran semula pelabur-pelabur asing memang dinantikan bagi memberi ruang kepada para pelabur tempatan untuk meringankan kedudukan dan merealisasikan keuntungan.

MIDF Research berkata, institusi tempatan melakukan jualan sebanyak RM1.58 bilion bersih pada minggu lalu.

Ia berkata, sejak awal tahun ini pengurus dana tempatan telah membuat pelupusan bersih berjumlah RM2.80 bilion. – MalaysiaGazette