Home Ekonomi Pelabur 3 negara diberi akses pengurus dana

Pelabur 3 negara diberi akses pengurus dana

Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Pihak Berkuasa Monetari Singapura, dan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Thailand telah menandatangani Memorandum Persefahaman untuk meningkatkan Rangka Kerja Skim Pelaburan Kolektif (CIS) ASEAN.

Rangka kerja ini membolehkan pengurus dana menawarkan dana-dana kepada pelabur runcit dua bidang kuasa yang lain di bawah proses pemberian kebenaran yang diseragamkan.

SC berkata, rangka kerja itu menggabungkan maklum balas daripada rundingan industri yang menyeluruh untuk mempromosikan lebih banyak penawaran rentas sempadan dana-dana ASEAN.

Ia juga membolehkan pengurus dana menawarkan lebih banyak produk dana kepada para pelabur di rantau ini.

Peningkatan utama kepada rangka kerja tersebut akan:
(a) membolehkan lebih ramai pengurus dana mengambil bahagian dalam rangka kerja dengan mengurangkan kriteria kelayakan kepada AS$350 juta aset di bawah pengurusan daripada AS$500 juta;

(b) memendekkan masa ke pasaran bagi pelancaran dana, kerana Penandatangan Memorandum tersebut komited untuk menyemak dalam tempoh 21 hari, permohonan lengkap daripada pengurus dana bagi pemberian kuasa suatu dana; dan

(c) memberi pengurus dana yang mengambil bahagian lebih kelonggaran untuk mewakilkan pengurusan pelaburan dana dengan meningkatkan bahagian aset dana yang boleh diurus sebahagiannya oleh pengurus yang tidak dikawal selia oleh Penandatangan, daripada 20 peratus kepada 100 peratus.

Rangka kerja yang disemak semula tersebut berkuat kuasa pada 23 Februari 2018.

Set baharu “Piawaian Kelayakan CIS” yang perlu dipatuhi oleh pengurus dana di bawah Rangka kerja ASEAN CIS boleh didapati http://www.theacmf.org/ACMF/upload/standards_of_qualifying_cis.pdf – MalaysiaGazette