Friday, March 29, 2024
Home Sukan Pemain Muda Harapan milik siapa?

Pemain Muda Harapan milik siapa?

(Dari kiri) Safawi, Nik Akif dan Akhyar bersaing untuk kategori Pemain Muda Harapan.

KUALA LUMPUR – Dua pemain muda sensasi negara menjadi pilihan utama apabila mendahulu senarai pencalonan untuk merebut trofi Pemain Muda Harapan dalam Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2018 (ABK18) pada Isnin ini.

Menurut kenyataan daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), pemain Kedah, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, 19, dan Muhammad Safawi Rasid, 21, yang beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) akan dicabar oleh rakan mereka dalam skuad muda negara Nik Akif Syahiran Nik Mat, 19, yang beraksi bersama Kelantan.

Muhammad Safawi turut tersenarai bagi kategori Pemain Tengah Terbaik bersama Nik Akif Syahiran dan Nor Azam Abdul Azih (Pahang).

Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy yang muncul wira pasukan Perak apabila membantu skuad The Bos Gaurus menjuarai Piala Malaysia Sabtu lalu antara calon untuk kategori Penjaga Gol Terbaik bersama-sama Farizal Marlias (JDT) dan Khairul Fahmi Che Mat (Melaka United).

MFL turut memberitahu, sebanyak 25 kategori telah disenaraikan bagi ABK kali ini, dengan tambahan kate­gori terbaharu iaitu Pemain ASEAN Terbaik.

Sembilan daripada kategori itu telah melalui proses sari­ngan oleh Jawatankuasa Sari­ngan ABK18 dan seterusnya undian yang dilaksanakan oleh 23 ketua jurulatih, 23 ketua pasukan dan 23 wakil media.

“Kesemua kategori dan pencalonan yang berkenaan telah diteliti dan disenarai pendek kepada 10 orang calon untuk setiap kategori oleh Jawatankuasa Saringan ABK18 yang terdiri daripada enam ahli panel, termasuk ketua jurulatih bawah 23 tahun negara Datuk Ong Kim Swee mewakili Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” menurut kenyataan itu. – MalaysiaGazette