Seorang bekas kerani firma guaman didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 138 pertuduhan membabitkan pecah amanah lebih RM100,000 sejak 2012 hingga 2015.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu Grab dipenjara 41 bulan oleh Mahkamah Majistret Ampang hari ini kerana mencederakan, mencabul dan mengugut untuk membunuh penumpangnya seorang pelajar kolej yang menaiki kenderaannya untuk pulang ke asrama, tahun lepas.

Majistret Haslinda A.Raof menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhamad Izuwan Kamaruddin, 39, selepas tertuduh menukar pengakuannya kepada bersalah pada perbicaraan hari pertama kesnya hari ini.

Mahkamah menjatuhi hukuman penjara 12 bulan bagi pertuduhan mencederakan, 14 bulan bagi pertuduhan mencabul dan 15 bulan untuk pertuduhan mengugut yang berjalan secara berturut-turut bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan pertama, bapa kepada seorang anak itu didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera kepada pelajar perempuan yang kini berusia 19 tahun, mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Lelaki itu juga mengaku bersalah telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap pelajar itu dengan niat hendak mencabul kehormatannya mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Muhamad Izwan turut didakwa melakukan ugutan hendak menyebabkan kematian terhadap mangsa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya dan jika ugutannya hendak menyebabkan kematian atau cedera parah, hendaklah dipenjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Tertuduh melakukan ketiga-tiga perbuatan itu di Hutan Simpan Kompartment 80, Hulu Langat, Ampang, dekat sini, pada 11.45 pagi, 11 Sept 2017.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian mangsa telah menaiki sebuah kenderaan jenis Myvi iaitu Grab yang dipandu oleh tertuduh di hadapan kolejnya di Taman Maluri untuk ke asrama di Jalan Badak.

Setelah beberapa minit perjalanan, mangsa mendapati tertuduh telah membawanya ke laluan yang berbeza daripada laluan ke asrama lalu mangsa bertanyakan tertuduh namun tertuduh tidak menjawab dan terus memandu.

Tertuduh kemudian memberhentikan kenderaannya di sebuah hutan simpan lalu bangun dari tempat pemandu dan terus menyerang mangsa yang duduk di bahagian belakang kenderaan dengan menerkamnya, menumbuk dahi, kepala serta mencekik leher mangsa dan mengugut mahu membunuh mangsa jika tidak mengikut kehendaknya.

Tertuduh menyuruh mangsa duduk di tempat duduk bahagian depan dan telah mencabul mangsa sebelum mengajak mangsa tidur di sebuah hotel.

Mangsa yang ketakutan telah memberi cadangan untuk pergi ke sebuah hotel di sekitar Kuala Lumpur dan tertuduh bersetuju lalu membawa mangsa ke sebuah hotel di Setapak, namun sebaik tertuduh memberhentikan kenderaannya, mangsa berjaya melarikan diri dan meminta pertolongan di sebuah bengkel.

Terdahulu ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah isterinya keguguran dan dia perlu menyara keluarga termasuk ibu yang sedang sakit tua dan memohon dijatuhi hukuman ringan bermula dari tarikh dia ditangkap tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abdul Razak memohon hukuman setimpal dikenakan kerana tertuduh telah gagal mengawal nafsunya sehingga menyebabkan penumpangnya sendiri yang merupakan seorang pelajar menjadi mangsa sehingga sakit dan trauma selain memberi kesan kepada pelajaran. – MalaysiaGazette