Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad bercakap pada sidang media mengenai peranan Yayasan Wilayah Persekutuan di Wisma Yayasan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 11 JUN 2019
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad bercakap pada sidang media mengenai peranan Yayasan Wilayah Persekutuan di Wisma Yayasan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 11 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan sedang menimbang permohonan pemandu teksi berdaftar di wilayah itu untuk membantu membuat caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sepanjang tahun ini.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Zaizalnizam Zainun untuk bertemu Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM) bagi mendapat maklumat terperinci sebelum keputusan akhir dibuat.

Beliau berkata, setakat ini rekod menunjukkan terdapat kira-kira 10,000 pemandu teksi berdaftar di Wilayah Persekutuan.

“Idea ini timbul bila Kerajaan Melaka membantu pemandu teksi berdaftar di negeri itu dengan membantu membuat caruman Perkeso. Jadi terdapat permintaan pemandu teksi di Wilayah Persekutuan kerana pendapatan mereka kini terjejas dan tidak menentukan sejak kemunculan syarikat e-hailing seperti Grab.

“Jadi kita sedang mempertimbangkan untuk membantu mereka dengan membuat caruman sehingga akhir tahun ini.

“Selepas itu, tahun depan mereka perlu membuat keputusan sama ada ingin meneruskan karier sebagai pemandu teksi atau menceburi bidang baharu,” katanya pada sidang media khas YWP di sini hari ini.

Khalid memberitahu, jika permohonan itu direalisasikan, YWP akan memperuntukan RM1.2 juta untuk caruman Perkeso itu.

“Kita faham nasib pemandu teksi kerana ada yang tiada pendapatan dalam sehari, tidak mampu bayar Perkeso dan bila tiada caruman tiada perlindungan serta melanggar undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette