Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik.

KUALA LUMPUR – Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) masih dalam peringkat kajian dengan pelbagai pihak berwajib sebelum ia dimansuhkan seperti yang termaktub dalam janji Manisfesto Pakatan Harapan (PH).

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, ketika ini pihaknya masih lagi mengadakan pertemuan dan melakukan perundingan dengan semua pihak berkepentingan untuk menggantikan akta itu.

“Ketika ini perbincangan dan rundingan masih sedang berjalan, kita juga sedang menunggu masa untuk mengadakan pertemuan dengan pelajar universiti juga untuk mendapatkan pandangan mereka kerana itu juga sangat penting.

“Setakat ini, kita belum buat apa-apa keputusan muktamad lagi kerana rundingan dengan pihak berkaitan masih lagi berjalan,” katanya ketika di temui di Lobi Dewan Negara sebentar tadi.

Pada awal bulan lepas, Gabungan Pembebasan Akademik Institusi Pengajian Tinggi (GPA-IPT) menyifatkan tempoh lima tahun yang diperlukan kerajaan untuk menghapuskan AUKU sebagai tidak munasabah.

Kementerian Pendidikan Malaysia sebelum ini mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada 12 anggota pelbagai latar belakang untuk mengkaji AUKU dan berunding dengan pihak berkepentingan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk sekian lama dikritik kerana meminda Seksyen 15 dan 16 AUKU ketika beliau adalah menteri pendidikan pada tahun 1975 semasa aktivisme pelajar berada di kemuncaknya.

Kedua-dua seksyen itu sebenarnya telah menghalang para pelajar daripada menyertai kesatuan atau politik ketika menuntut.

Walaupun Seksyen 15C dimansuhkan pada tahun 2012 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak namun undang-undang itu masih digunakan untuk menghukum pelajar yang terlibat dalam kegiatan anti kerajaan.

Dalam janji manifesto PH sebelum PRU-14, gabungan itu berhasrat untuk menghapuskan AUKU menggantikannya dengan undang-undang baru bagi memastikan pendidikan berkualiti, kebebasan akademik, kebebasan bersuara, serta autonomi akademik. – MalaysiaGazette