Budiman Mohd Zohdi
Budiman Mohd Zohdi
KUALA LUMPUR – Cadangan menggesa pemantau antarabangsa menyaksikan proses Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di negara ini merupakan satu penghinaan dan cuba ‘membunuh’ semangat kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi berkata, cadangan itu tidak wajar dilakukan sekali gus ia cuba menafikan jasa dan profesionalisme petugas SPR yang menjadi tulang belakang dalam setiap proses pilihan raya di negara ini.

“Jasa kaktangan SPR seolah-olah diperlekehkan hanya kerana mahu memenuhi nafsu dan agenda tersembunyi pakatan pembangkang.

“SPR sudah mempunyai pengalaman menjalankan pilihan raya umum sebanyak 13 kali. Kewibawaan SPR tidak wajar dipertikai sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH), Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang mendesak kerajaan mengundang pasukan pemantau pilihan raya bebas daripada Sekretariat Komanwel dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memantau perjalanan PRU14.

Cadangan itu adalah susulan daripada jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini yang mengatakan sistem pilihan raya di negara ini telah ditambah baik oleh SPR dan tidak akan berlaku penipuan.

Budiman juga berkata, ketelusan proses pilihan raya di bawah kendalian SPR tidak wajar dipertikaikan kerana pakatan pembangkang itu berpeluang merampas beberapa negeri untuk membentuk kerajaan pada pilihan raya lalu.

“Jika tidak, adakah mungkin pihak pembangkang berjaya menguasai Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor? Adakah desakan yang dibuat mereka ini secara tidak langsung menyatakan kemenangan mereka itu juga tidak sah?

“Sesungguhnya perjalanan pilihan raya di Malaysia dilaksanakan secara telus memandangkan kesemua calon bertanding dibenarkan melantik ejen mewakili mereka di setiap pusat dan saluran pengundian sepanjang tempoh mengundi dan kiraan undi,” katanya.

Beliau turut berkata, desakan Muhyiddin juga merupakan satu bentuk ancaman kepada kedaulatan dan sistem demokrasi negara selepas pemimpin PH yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad menemui delegasi Kesatuan Eropah.

“Tidak pernah sejak 1957, negara ini didesak untuk tunduk kepada kuasa luar, termasuklah kepada Kesatuan Eropah bagi menentukan sendiri proses pilihan raya yang bersih dan adil,” katanya lagi. -MalaysiaGazette