KUALA LUMPUR – Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan memperdaya dua wanita dalam urusan pembelian barangan berjenama mewah antaranya beg tangan Hermes, jam tangan Rolex dan kasut Chanel berjumlah RM1,267,810.

Kee Cel Ghen, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus dan Datin Sabariah Othman.

Dia didakwa menipu seorang wanita berusia 25 tahun dalam urusan mendapatkan 32 jenis barangan berjenama mewah sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM312,300 dan mangsa tidak akan berbuat demikian jika mengetahui tidak akan memperoleh barangan tersebut.

Kee didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan 11/17, Taman Fadason, di sini, antara 6 Mei hingga 18 Julai 2023.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara minimum setahun maksimum 10 tahun serta sebatan dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Ibu dua anak itu juga didakwa melakukan kesalahan serupa terhadap seorang lagi wanita berusia 30 tahun dalam urusan mendapatkan 77 jenis barangan mewah sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM916,920.

Kee didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Udang Rawa, Taman Sri Segambut antara 2 Mei hingga 9 Julai 2023 mengikut seksyen sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amir Hanif Ahijman dan Raihanah Abd Razak masing-masing menawarkan jaminan sebanyak RM35,000 dan RM200,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Peguam Syawal Razak dan Muhammad Razman Sahat pula merayu jumlah jaminan rendah atas alasan tertuduh perlu menanggung ibu bapanya yang uzur serta tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Kedua-dua mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM70,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Februari untuk serahan dokumen. – Bernama