MRT2

KUALA LUMPUR – Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) akan melaksanakan pemeriksaan awam bagi pengubahsuaian kepada skim keretapi asal MRT Laluan Putrajaya (dahulunya dikenali sebagai Laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya) bermula 17 September sehingga 17 Disember ini.

MRT Corp. dalam kenyataanya berkata, orang ramai boleh memeriksa pelan konteks tapak kerja dan dokumen-dokumen lain yang menunjukkan pengubahsuaian kepada skim keretapi asal di pejabat Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di Tingkat Bawah Menara Tun Ismail Mohamed Ali, Jalan Raja Laut, Kuala Kuala Lumpur.

Dokumen-dokumen tersebut akan dipamerkan untuk pemeriksaan awam dari 9 pagi sehingga 4 petang, Isnin sehingga Jumaat kecuali pada hari kelepasan awam.

Pengubahsuaian kepada skim keretapi asal adalah hasil daripada pelaksanaan rasionalisasi kos oleh Kerajaan bagi projek-projek infrastruktur mega pada tahun 2018.

Di bawah rasionalisasi itu, kos pembinaan Laluan MRT Putrajaya dapat dikurangkan sebanyak RM 8.82 bilion daripada RM 39.35 bilion kepada RM 30.53 bilion.

Pengubahsuaian kepada skim keretapi asal dapat dilakukan kerana peralihan pendekatan pembinaan projek daripada pendekatan bina-untuk-kapasiti kepada pembinaan mengikut permintaan, berdasarkan semakan semula jangkaan bilangan penumpang oleh APAD.

Antara pengubahsuaian yang akan dilakukan adalah penangguhan pembukaan stesen bawah tanah Bandar Malaysia Utara dan Bandar Malaysia Selatan, penangguhan atau penyemakan semula pintu-pintu masuk stesen dan jejambat pejalan kaki, penangguhan kemudahan tempat letak kenderaan bertingkat yang akan diganti dengan kemudahan tempat letak kenderaan atas tanah, dan lain-lain.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi MRT Corp melalui talian Hotline MRT 1800-82-6868 atau e-mel keĀ [email protected].- MalaysiaGazette