Home Dunia Pemilik kopi kotor ditahan

Pemilik kopi kotor ditahan

Polis menyerbu premis yang mengeluarkan kopi kotor dan berbahaya di Bandar Ho Chi Minh. foto Agensi

HO CHI MINH – Sebuah keluarga Vietnam yang mengeluarkan kopi di wilayah Dak Nong ditangkap kerana kopi yang “kotor” dari bahan-bahan berbahaya seperti bateri, kotoran dan habuk.

Premis itu yang dimiliki oleh Nguyen Thi Loan diserbu oleh polis dan penguatkuasa makanan selepas mendapat maklumat daripada penduduk lain yang curiga dengan aktiviti yang dijalankan di rumah tersebut.

Menurut pihak berkuasa, sebanyak 12 tan kopi “kotor” telah dirampas semasa serbuan.

Beberapa bahan mentah yang digunakan untuk pengeluaran kopi itu turut ditemui.

Ia termasuk 35 kilogram serbuk hitam yang diekstrak dari bateri yang telah dugunakan dan satu tong cecair hitam seberat 10 kilogram.

Pemilik premis itu memberitahu, dia membeli biji-biji kopi yang ditolak daripada kedai lain pada harga rendah.

Kopi-kopi itu akan dimesin dan dicampurkan dengan bahan-bahan lain seperti habuk batu dan kemudian akan ditambah dengan cecair hitam.

Loan berkata, kilang itu telah beroperasi beberapa tahun dan telah menjual sebanyak tiga tan kopi di pasaran pada tahun ini.

Polis telah mengambil sampel kopi untuk ujian makmal, kata Tuoi Tre News.

Profesor Madya, Tran Hong Con, ahli kimia dari Universiti Kebangsaan Vietnam berkata, bahan hitam yang terdapat dalam bateri adalah kimia toksik yang dinamakan manganese dioksida.

Mangan dioksida adalah sebatian yang sangat oksidan dan sekurang-kurangnya 0.5 miligram dicampurkan dalam satu liter air cukup untuk menyebabkan keracunan mangan manusia, katanya.

Keracunan mangan, juga dikenali sebagai manganisme, boleh menyebabkan kerosakan otak selepas pendedahan yang berpanjangan.

Menurut Tran, keracunan itu tidak dapat dipulihkan boleh menyebabkan halusinasi dan kematian.

Logam berat lain yang biasanya terdapat dalam bateri seperti plumbum, merkuri, zink, kadmium dan arsenik juga sangat toksik, boleh merosakkan otak, buah pinggang, sistem kardiovaskular dan kesuburan jika dimakan. – MalaysiaGazette