Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) mengisytiharkan DAP dan Pakatan Harapan (PH) sebagai musuh utama parti itu yang perlu diperangi serta memastikan sejarah 22 bulan memerintah tidak lagi berulang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, blok pembangkang itu juga merupakan pesaing utama Pas yang berada dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu dan Gerakan.

“Sehingga hari ini, kita masih menganggap DAP dan parti kompenan PH yang lain sebagai pesaing utama kita pada PRU-15.

“DAP dan PH adalah musuh kita dan kita tidak mahu melihat mereka kembali semula memerintah negara dan cukuplah dengan 22 bulan itu,” katanya dalam satu majlis di Besut, Terengganu semalam.

Kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu, jentera DPPM kini berada pada tahap tertinggi untuk menghadapi PRU yang dijangka diadakan bila-bila masa dari sekarang.

Katanya, kesiapsiagaan itu selaras dengan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Jumaat lalu yang bersetuju pembubaran Parlimen dilaksanakan segera.

Oleh itu, kata beliau, DPPM menggariskan empat perkara (4A) yang perlu dilaksanakan jentera Pilihan Raya Dewan Pemuda Pas kawasan di seluruh negara bagi menghadapi PRU-15.

“4A ialah Aktifkan jentera pemuda kawasan masing-masing, Akur kepada arahan dan keputusan kepimpinan tertinggi parti, Alert dengan perkembangan semasa dan arahan serangan kepada musuh bila semboyan PRU-15 diumumkan.

“Kita tidak kisah siapa musuh yang akan diputuskan pemimpin tertinggi dengan mengambil kira Pas masih berunding bagi mempertahankan penyatuan ummah dengan UMNO,” katanya. – MalaysiaGazette