Laporan anilnetto.com tentang keputusan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk meneruskan projek pembinaan hotel di Bukit Bendera

GEORGE TOWN – Penang Forum, gabungan kumpulan masyarakat sivil berkepentingan awam, hari ini berkumpul di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri di sini bagi membantah cadangan kerajaan Pulau Pinang membina dua hotel di puncak Bukit Bendera.

Anggota Penang Forum Khoo Salma Nasution berkata projek pembangunan di atas Bukit Bendera itu akan menjejaskan ekologi dan alam sekitar di kawasan tanah tinggi itu.

Beliau berkata cadangan untuk pembinaan hotel itu pernah diutarakan pada awal 1990an namun rancangan itu terpaksa dibatal akibat bantahan daripada pelbagai pihak.

“Ekologi Bukit Bendera amat mudah terjejas, oleh itu semua pembangunan di puncak bukit itu harus dihentikan agar keselamatan penduduk termasuk alam flora dan fauna di situ akan lebih terjamin,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perhimpunan aman membantah projek pembangunan itu, di hadapan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini hari ini.

Semalam, Ketua Menteri Chow Kon Yeow mengumumkan bahawa dua buah hotel akan dibina di puncak Bukit Bendera bagi memenuhi keperluan kawasan peranginan itu.

Menurut Chow, hotel lima tingkat dengan kapasiti kira-kira 200 bilik itu akan bina di belakang Banglo Convalescent, menjelang tahun hadapan

Sementara itu, Exco Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA) Pam Ooi berkata Bukit Bendera mengalami hampir 200 kejadian tanah runtuh tahun lepas akibat ribut.

“Bukit Bendera tidak memerlukan sebarang projek pembangunan kerana bukit itu agak ‘fragile’ dan apa-apa pembangunan akan mendatangkan risiko keselamatan kepada penduduk di situ.

“Kami akan terus membantah sekiranya projek pembangunan di Bukit Bendera itu dibenarkan oleh pihak berkuasa kerana nyawa manusia dan alam sekitar akan dipertaruhkan demi kepentingan pembangunan,” katanya.

— BERNAMA