Mohamed al-Ghiety . foto Agensi

KAHERAH – Seorang pengacara televisyen Mesir dikenakan hukuman kerja-kerja berat selepas didapati bersalah mewawancara seorang lelaki gay tahun lalu.

Mahkamah di Giza turut mengenakan denda terhadap Mohamed al-Ghiety sebanyak 3,000 pound Mesir (AS$167) kerana mempromosi homoseksual dalam rangkaian LTC TV yang dimilikinya.

Lelaki gay yang diidentitinya disembunyikan telah bercakap mengenai kehidupannya sebagai pekerja seks dalam wawancara berkenaan.

Homoseksualiti tidak secara nyata dihukum sebagai jenayah di Mesir, bagaimanapun, pihak berkuasa mahu menangani komuniti LGBT.

Pihak berkuasa secara rawak menahan orang yang disyaki terlibat dalam kelakuan homoseksual yang konsensual atas tuduhan “perbuatan keji”, tidak bermoral atau mempersendakan Tuhan.

Sebagai tambahan kepada hukuman penjara dan denda, mahkamah juga memerintahkan Ghiety ditahan selama satu tahun selepas menjalani hukumannya.

Keputusan itu boleh dirayu dan digantung jika Ghiety membayar ikat jamin 1,000 pound Mesir, sementara menunggu keputusan rayuan. – MalaysiaGazette