Ahmad Fadhli Shaari
Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Pemuda Pas menyifatkan pengendali laman Facebook DrMaza.com sebagai tidak berakhlak.

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau berpandangan bahawa tulisan di dalam laman yang dimiliki oleh mufti Perlis ini sangat-sangat tidak bertanggungjawab apabila mengaitkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan juga jabatan amal parti itu.

Malah, beliau turut mempersoalkan admin laman sosial tersebut mengenai tuduhan yang dilontarkan terhadap Pas sedangkan kes itu masih dalam siasatan polis.

“Saya sebagaimana pemimpin Pas yang lain sangat bersimpati dengan insiden yang menimpa mufti Perlis.

“Bahkan Pesuruhjaya Pas Negeri Perlis telah mengeluarkan kenyataan mengutuk keganasan yang dilakukan ini dalam satu kenyataan pada 22 Mac 2019 yang lepas.

“Bagaimana mungkin perbuatan ini dikaitkan dengan sikap rasmi Pas yang tidak pernah membenarkan mana-mana ahlinya melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang,” katanya menerusi kenyataan.

Ahmad Fadhli berkata, Pas telah lama berkecimpung di dalam politik pilihan raya dan menang kalah yang silih berganti tidak pernah menjadikan Pas sebagai sebuah parti pengganas.

Ujarnya, jika pandangan mufti Perlis yang berbeza dengan Pas dibandingkan dengan pelbagai tekanan yang dihadapi oleh Pas selama ini di peringkat nasional, boleh dikatakan isu Mufti Perlis ini sangat kecil.

Tambahnya, mengaitkan Pas dengan perbuatan seperti ini adalah merupakan suatu tindakan yang sungguh tidak bertanggungjawab dan sayangnya ia ditulis dengan bersandarkan kepada sebuah laman sosial yang dimiliki oleh Mufti Perlis.

“Saya berbaik sangka bahawa Mufti Perlis tidak merestui tulisan ini. Namun, membiarkan penulis seperti ini mempunyai akses ke atas laman tersebut boleh membayangkan bahawa ia mewakili Mufti Perlis secara tidak langsung.

“Pada saya admin ini sungguh tidak berakhlak. Tunggulah siasatan polis selesai terlebih dahulu.

“Jikapun benar ahli parti melakukan perbuatan tersebut, adakah tindakan seorang dua ahli itu membayangkan pendirian rasmi parti?

“Jika demikian bolehkah dikatakan tidak berakhlaknya admin laman ini membayangkan tidak berakhlaknya tuan punya laman tersebut?” soal beliau. – MalaysiaGazette