Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin bercakap kepada media di lobi Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 04 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berpendapat pindaan had umur pengundi kepada 18 tahun dan pindaan pendaftaran secara automatik tidak memberikan apa-apa kelebihan kepada pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Katanya, pengundi muda mempunyai trend mereka tersendiri dalam membuat pilihan masing-masing.

Malah katanya, kelebihan tawaran oleh pihak kerajaan mahupun pembangkang akan menjadi kayu pengukur kepada pemilihan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

“(Kedua-dua pindaan) Tidak memberi kelebihan kepada mana-mana pihak sebab saya percaya orang muda di Malaysia ini akan tunggu dan lihat siapa yang akan beri hala tuju yang baik kepada mereka.

“Jadi tak timbul ini akan beri kelebihan kepada mana-mana pihak,” katanya kepada media di lobi Dewan Rakyat hari ini.

Beliau diminta mengulas pembentangan pindaan yang akan dibawa oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Difahamkan bacaan kali kedua serta perbahasan RUU itu akan dilakukan pada sidang Dewan kali ini yang berlangsung sehingga 18 Julai.

Pindaan itu memerlukan sokongan dua pertiga atau sekurang-kurangnya 148 daripada 222 Anggota Parlimen untuk diluluskan. -MalaysiaGazette