Donald Trump. foto Reuters

WASHINGTON – Kedegilan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyebabkan agensi kerajaan dirundum kegelisahan berikutan pembinaan tembok di sempadan Mexico.

Agensi berita melaporkan, Trump tetap bertegas untuk tidak memulakan sebarang operasi kerajaan sehingga tuntutan permohonan dana sebanyak AS$5 bilion (RM20.9 bilion) bagi tujuan pembinaan tembok tersebut.

Pembinaan tembok di sempadan AS dan Mexico merupakan janji Trump ketika Pilihan Raya Presiden tetapi sehingga kini ia ditentang pelbagai pihak termasuk Demokrat dan juga Republikan.

Ini menyebabkan Trump bertindak tegas dengan enggan menantandatangani sebarang peruntukan belanjawan, sekali gus menjejaskan peruntukan dana pentadbiran kerajaan.

Tindakan Trump juga menyebabkan penutupan operasi pentadbiran kerajaan AS yang kini sudah memasuki hari keempat.

Pada 22 Disember lepas, operasi di beberapa agensi dan pejabat kerajaan AS sekali lagi melalui krisis shutdown atau penutupan selepas sidang Kong­res ditangguhkan tanpa meluluskan rang undang-undang perbelanjaan Persekutuan serta ‘melayani’ permintaan Trump untuk pembiayaan pembinaan tembok sempadan.

Operasi tersebut terganggu walaupun perbincangan terakhir berterusan di Capitol Hill antara pegawai-pegawai White House dan pe­mimpin Kongres kedua-dua parti.

Krisis ini juga merupakan yang ketiga pada tahun ini dan masih tidak jelas berapa lama akan berlanjutan.

Sebelum ini Trump menyatakan kejadian itu tidak akan berlanjutan untuk satu tempoh yang lama selepas mendakwa sudah bersedia menghadapi keadaan tersebut.

Beliau turut menyalahkan penentangnya iaitu Demokrat dalam krisis terbaharu itu.

“Saya tidak memberitahu anda, bila kerajaan akan beroperasi semula.

“Tetapi saya boleh mengesahkan bahawa ia tidak akan dibuka sehinggalah kami mendapat tembok, atau pagar atau apa sahaja yang mereka ingin panggil,” kata Trump kepada wartawan semalam.

Situasi tersebut dilihat pelbagai pihak sebagai sesuatu yang kurang baik kerana kira-kira 800,000 ka­kitangan kerajaan terpaksa be­kerja tanpa gaji dalam tempoh cuti perayaan Krismas.

Tetapi situasi buruk yang melanda kakitangan terbabit seakan tidak diendahkan Kongres dan Presiden. – Agensi