Penyakit kencing manis hanya dikesan dalam kalangan 10 peratus daripada pekerja berusia lebih 40 tahun. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perbelanjaan untuk dialisis melambung daripada RM1 juta pada tahun 1999 kepada RM330 juta tahun lalu.

Peningkatan itu tidak menunjukkan tanda-tanda mereda dan diunjur mencecah RM500 juta menjelang 2030.

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, walaupun kerajaan, Perkeso, institusi zakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mampu membantu meringankan bebanan pesakit dialisis tetapi terdapat jurang lebih 20 peratus pesakit dialisis terpaksa mengeluarkan hasil simpanan peribadi bagi menampung perbelanjaan menjangkau RM65,520 setahun.

Menurutnya, Perkeso telah merintis usaha untuk melindungi kesihatan tenaga buruh di Malaysia sejak 11 tahun lalu menerusi pelancaran Program Saringan Kesihatan (HSP) susulan peningkatan membimbangkan berkaitan diabetes dan hipertensi atau tekanan darah tinggi.

Ketika fasa pertama HSP (2013-2021), diabetes atau penyakit kencing manis hanya dikesan dalam kalangan 10 peratus daripada pekerja berusia lebih 40 tahun.

Pasca pelaksanaan HSP 2.0 dan HSP 3.0, perangkaan itu melonjak kepada 14 peratus pada 2022, manakala menjelang akhir 2023, situasi kian meruncing apabila ia mencecah 20 peratus, bermakna satu daripada lima pekerja dikenal pasti menghidap diabetes.

Diabetes adalah faktor penyumbang utama bagi penyakit buah pinggang kronik (CKD) yang berupaya melarat menjadi penyakit ginjal tahap akhir (ESRD) iaitu kegagalan buah pinggang yang tiada peluang sembuh sehingga mengundang kematian pramatang atau sebelum usia tua.

Meskipun pemindahan buah pinggang ialah cara paling berkesan, organ berkenaan sukar didapati.

Laporan terbitan Daftar Pemindahan dan Dialisis Malaysia (MDTR) pada 2022 menunjukkan hanya empat daripada 1,000 pesakit dialisis menerima pemindahan organ pada tahun berkenaan, situasi meruncing memandangkan kadar hidup bagi pesakit dialisis adalah lima tahun.

Dengan prevalens atau kelaziman penderma organ yang rendah, dialisis kekal sebagai rawatan utama di Malaysia walaupun memberi kesan kewangan yang amat mendalam.

Hampir separuh daripada pembiayaan dialisis diperoleh daripada kerajaan dan Perkeso menyediakan tambahan 25 peratus peruntukan bagi membantu pesakit dialisis di negara ini.

Bagaimanapun, kekangan kewangan untuk pesakit dialisis melangkaui sekadar perbelanjaan ubat-ubatan.

Keterbatasan kesihatan sering merencatkan kemampuan mereka untuk bekerja, sekali gus membawa kepada potensi hilang punca pendapatan dan penyusutan produktiviti.

Bagi merungkai permasalahan ini, Perkeso menawarkan Pencen Ilat dan Pencen Penakat.

Meskipun mengikut perundangan, faedah dialisis bukan suatu perkhidmatan yang perlu disediakan Perkeso, namun bantuan ini perlu demi menyokong kesejahteraan pekerja dan talian hayat mereka.

Di peringkat ini, Perkeso memilih jalur perlindungan kesihatan proaktif bagi membendung penyakit yang menyebabkan tekanan kewangan seperti CKD.

Perkeso memberi dukungan kepada Pelan Tindakan Kebangsaan untuk Buah Pinggang Yang Sihat (ACT-KID) 2018-2025, yang menggariskan matlamat ke arah mewujudkan populasi lebih sihat, khususnya dengan mengurangkan kadar diabetes, obesiti (kegemukan) dan paling utama, penyakit buah pinggang.

Selari matlamat ini, Perkeso bakal melancarkan program pencegahan kesihatan proaktif, dikenali sebagai kempen Tolak Gula yang dijadualkan dilancarkan pada Mac 2024, kempen berkenaan direncana secara strategik untuk menyasarkan golongan tenaga kerja demi membendung faktor penyumbang utama isu kesihatan berkaitan buah pinggang. – MalaysiaGazette