Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Foto HAZROL ZAINAL, 17 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Setelah penangguhan selama dua minggu perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM2.28 bilion membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersambung hari ini.

Mahkamah Tinggi di sini terpaksa menangguhkan perbicaraan itu berikutan salah seorang daripada peguambela Najib dikuarantin kerana menjadi kontak rapat beberapa individu yang positif Covid-19.

Ia juga merupakan kali keempat Covid-19 menjadi penyebab perbicaraan tersebut ditangguhkan.

Najib tiba di mahkamah pada jam 9.25 pagi.

Perbicaraan dijangka bersambung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah membaitkan saksi ke-10 pihak pendakwaan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, iaitu Mohd Hazem Abd Rahman.

Kali terakhir Mohd Hazem memberikan keterangan pada Februari lepas kerana menjadi kontak rapat Covid-19.

Hakim kemudian membenarkan saksi pendakwaan, bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet) Tan Sri Mazidah Abdul Majid memberi keterangan.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan dibicarakan atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan serta penyelewengan dana berjumlah RM2.3 bilion di Mahkamah Tinggi, di sini.

Perbicaraan yang masih di peringkat pendakwaan masih diteruskan dengan soal balas pihak pembelaan terhadap Mohd. Hazem sebentar lagi.

Selain itu turut tertangguh ialah rayuan Najib berhubung sabitan salah dan hukuman denda RM210 juta serta penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. di Mahkamah Rayuan yang dijadualkan bersambung esok. – MalaysiaGazette