Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Parti Putra Malaysia mengucapkan tahniah dan menjunjung kasih kepada Yang d-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana berjaya menyelesaikan krisis kepimpinan negara mengikut budi bicara baginda berdasarkan kuasa dalam Perlembagaan Persekutuan.

Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berharap dan berdoa semoga semua pihak menerima dan menghormati apa yang telah diputuskan oleh baginda.

Katanya, adalah penting semua pihak turut sama membantu menjamin keselamatan negara dan memberi kerjasama kepada Perdana Menteri kelapan yang baharu iaitu Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

“Kepada pihak yang tidak berpuas hati berdasarkan mandat rakyat PRU 14 terpaksa menerima keputusan ini dan bersabar kerana 36 bulan lagi atau tiga tahun lagi akan berlangsung PRU 15.

“Tempoh ini bukanlah lama sangat dan itu tempoh masa untuk Muhyiddin membuktikan kepimpinannya diterima oleh rakyat atau tidak.

“Manusia merancang dan Allah menentukannya. Bagi orang perjuangan, teruskanlah merancang dan berusaha kerana perjuangan itu tiada noktahnya,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Yang di-Pertuan Agong petang ini berkenan melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Dalam satu kenyataan Istana Negara yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, istiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri akan diadakan esok.

Kata Dr. Ibrahim, titik akhirnya Allah akan menentukan dari semasa ke semasa atas apa jua perkara perjalanan hidup manusia dan wajar semua pihak berdoa semoga Malaysia negara tercinta selamat dan rakyat sejahtera. – MalaysiaGazette