Ahli keluarga banduan menunggu di luar penjara Honduras. foto TRT

MEXICO – Sekurang-kurangnya 41 orang banduan wanita terbunuh dalam rusuhan di penjara Honduras pada hari Selasa.

Difahamkan, kejadian itu berlaku selepas tercetus pergaduhan antara kumpulan saingan menyebabkan satu kumpulan membakar sel.

Pegawai penjara berkata, kebanyakan mereka yang maut terbunuh dalam kebakaran itu tetapi yang lain ditembak, ditikam atau dipukul hingga mati.

Siasatan sedang dijalankan untuk menentukan bagaimana banduan itu berjaya menyeludup senjata automatik dan parang ke dalam penjara.

Presiden Xiomara Castro, yang pada tahun lepas melancarkan tindakan keras terhadap kumpulan samseng terkejut dengan pembunuhan besar-besaran banduan wanita dan akan mengambil “langkah drastik” sebagai tindak balas.

Beliau telah memecat Menteri Keselamatan Ramón Sabillón dan menggantikannya dengan Ketua Polis Negara, Gustavo Sánchez.

Mereka yang terselamat dalam insiden maut itu memberitahu media, kejadian itu dicetuskan oleh persaingan antara dua pertubuhan jenayah paling terkenal di Amerika Tengah: 18th Street dan MS-13.

Mereka berkata, ahli satu kumpulan telah mengejek saingan mereka, yang kemudian membakar tilam di dalam sel.

Video yang disiarkan di media sosial menunjukkan kepulan asap dari penjara wanita itu, yang terletak kira-kira 25km di utara ibu negara, Tegucigalpa, dan menahan kira-kira 900 banduan.

Walaupun puak yang berperang dikurung di bahagian penjara yang berlainan namun sayap sel terletak berdekatan antara satu sama lain. – Agensi