Polis merampas dadah dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Polis merampas dadah bernilai RM77,140 termasuk cecair yang dipercayai dijadikan bahan untuk vape perisa ganja dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Klang Lama di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Mohd Shukor berkata, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibupejabat Polis Daerah telah menahan empat lelaki dalam serbuan kira-kira pukul 9.45 malam.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan di premis tersebut telah berjaya merampas dadah jenis ganja anggaran berat 494 gram dan cecair ganja anggaran berat 3,496 mililiter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aminihizam berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati tiga suspek positif dadah jenis kanabis dan seorang suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama tujuh hari bermula empat sehingga 10 Januari 2023.

Tambah Aminihizam, hasil siasatan lanjut polis kemudiannya telah menahan tujuh lagi suspek. Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dua negatif dadah, seorang positif dadah jenis methamphetamine dan empat positif dadah kanabis,” katanya.

Jelas beliau, tiga suspek ditahan reman selama tiga hari bermula empat sehingga 6 Januari manakala dua suspek ditahan reman selama dua hari bermula 4 sehingga 5 Januari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Menurut Amnihizam, modus operandi sindiket memproses cecair ganja tersebut dan dijadikan cecair untuk vape perisa ganja.

“Botol cecair vape tersebut dibungkus sebotol 5 ml dan dijual dengan harga RM60 kepada mereka yang berumur lingkungan 19 hingga 28 tahun,” katanya.

Ujar beliau, nilai rampasan dadah bernilai RM77,140 dan boleh dibekalkan kepada 2,242 pengguna dan turut dirampas ialah wang tunai RM200.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jelasnya, bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Brickfields masih lagi menjalankan risikan serta siasatan bagi mengenalpasti ahli-ahli sindiket yang terlibat dan sumber bekalan yang diperoleh.

Sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dengan rampasan dadah ini bolehlah menyalurkan maklumat di talian 03-22979222 sambungan 553 bagi membantu siasatan, katanya. – MalaysiaGazette