Dr. Dzulkefly Ahmad

PUTRAJAYA – Kehilangan produktiviti modal insan negara yang berpunca daripada masalah kesihatan akibat penggunaan hasil tembakau mencetuskan kebimbangan kerajaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kehilangan keupayaan modal insan itu menjejaskan peluang negara mencapai status negara maju khususnya ke arah mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Katanya, kajis elidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan 22.8 peratus atau 5 juta rakyat Malaysia berumur 15 tahun dan ke atas adalah perokok.

“Peratusan ini adalah yang tertinggi dalam kalangan rakyat berumur 20 hingga 54 tahun dengan majoritinya adalah kaum lelaki iaitu 43 peratus.

“Golongan ini merupakan kumpulan yang masih produktif sebagai pekerja yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara manakala satu pertiga atau 2.8 juta orang merupakan perokok pasif yang mengalami kesan kesihatan yang negatif seperti perokok aktif.

“Tinjauan yang sama juga menunjukkan bahawa merokok merupakan penyumbang utama kepada kematian dengan 20,000 kematian dianggarkan berlaku setiap tahun di negara ini dan ia juga merupakan faktor risiko utama kepada berlakunya penyakit-penyakit jantung dan saluran pulmonari dengan mencatatkan 15.7 peratus daripada 20,000 jumlah kematian,’ katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis Anugerah dan Pengiktirafan Kempen Blue Ribbon 2019 Kementerian Kesihatan malam ini.

Dzulkefly berkata, penggunaan tembakau masih menjadi ancaman utama kesihatan dunia yang boleh dicegah dan setakat ini ia telah meragut 7 juta nyawa setiap tahun.

Jelas beliau, sebanyak AS$1.4 trillion atau kira-kira RM5.6 trilion dibelanjakan untuk kos penjagaan kesihatan serta kehilangan produktiviti akibat masalah kesihatan akibat penggunaan tembakau dan merokok.

Sementara itu, Dzulkefly memberitahu, sebanyak 181 premis dipilih menerima Anugerah Pengiktirafan Premis Bebas Asap Rokok Blue Ribbon tahun ini, berbading meningkat 27 premis pada tahun lalu. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.