Tian Chua. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 17 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Tian Chua melahirkan kegusaran dengan perubahan kedudukan ahli-ahli Parlimen dan kerusi yang dirombak dalam Pilihan Raya Ke-15 ini.

Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu akui sebarang bentuk pemilihan calon sudah pastinya tidak akan memuaskan hati semua orang.

Bagaimanapun, beliau berpendapat senarai calon PKR sepatutnya lebih inklusif bagi menggambarkan kepelbagaian dalam parti.

”Selepas pengumuman itu, terdapat ramai pihak yang kecewa dengan beberapa pilihan calon. Adalah diterima bahawa tidak akan ada sistem yang sempurna untuk pemilihan calon.

”Namun parti itu mesti berhati-hati dan tidak boleh mengabaikan reaksi dan sentimen pengundi, terutama pada musim pilihan raya,” katanya yang memberi reaksi selepas pengumuman 72 calon PKR menjelang PRU15 yang dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi.

Chua berkata, salah satu kriteria teras untuk memilih pencalonan ialah keupayaan untuk membina hubungan yang kukuh dengan kawasan pilihan raya.

Jelasnya, ketakutan terbesar beliau ialah kualiti ini perlahan-lahan hilang, sekali gus ‘mencederakan’ akar umbi parti selain mengecewakan pengundi yang setia menyokong parti.

”Semasa kita berarak untuk menyerang pihak lawan, kita juga harus berjaga-jaga agar tidak kehilangan markas,” amaran beliau. – MalaysiaGazette