Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Perhimpunan Agung Persatuan Undang-Undang Asean Ke-14 dan Persidangan Undang-Undang Asean di Hotel Shangrila, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 19 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Kesucian undang-undang dalam menegakkan keadilan kepada Palestin yang berdepan dengan kekejaman Israel tercemar kerana ada negara yang percaya kepada sikap kuku besi regim Zionis.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Malaysia akan mengunakan segala saluran diplomatik dalam menghentikan kekejaman Israel terhadap Palestin.

“Malaysia percaya dalam menegakkan undang-undang antarabangsa. Malah, keselamatan dan kemakmuran kita adalah berdasarkan keutamaan peraturan yang mengawal interaksi antara negara.

“Tetapi sukar untuk mempercayai kesuciannya (undang-undang) apabila sesetengah negara mempunyai komitmen yang begitu gigih kepada kuku besi pasukan penjajah (Israel) – kejam dalam naluri mereka, yang bertujuan melakukan pembunuhan beramai-ramai.

“Inilah sebabnya mengapa Malaysia tidak akan melepaskan sebarang usaha diplomatik dalam bekerjasama dengan rakan kongsi untuk mencegah pembunuhan beramai-ramai orang awam di Gaza,” kata Anwar.

Menurutnya, tidak ada keraguan dalam komitmen Malaysia untuk mendapatkan keadilan buat rakyat Palestin.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Persatuan Undang-Undang ASEAN ke-14 dan Persidangan Undang-Undang ASEAN (ALA) 2023 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Ketua Hakim Singapura Sundaresh Menon selaku Presiden ALA, peguam negara, hakim serta pengamal undang-undang dari negara ASEAN.

Anwar menegaskan, keganasan yang dilakukan oleh Israel sememangnya ada kaitan dengan undang-undang dan secara sinis berkata, negara yang menyokong regim Zionis itu akan mendakwa tindakan Israel tidak ada kaitan dengan undang-indang.

“Apa kaitannya dengan undang-undang? Segala-galanya dan tiada apa-apa. Ia ada kaitan dengan undang-undang kerana itulah yang sepatutnya kita semua pertahankan pada saat bahaya besar ini.

“Dan sepatutnya begitu terutamanya bagi negara-negara di dunia yang sentiasa cepat mendakwa bahawa mereka menyokong undang-undang antarabangsa berasaskan peraturan.

“Tetapi ia juga tidak ada kena mengena dengan undang-undang kerana negara-negara yang sama ini cepat menangguhkan perbincangan sebegitu apabila ia melibatkan Israel, pendudukan kejamnya terhadap rakyat Palestin dan sikap tidak menghiraukan perintah antarabangsa berasaskan peraturan,” kata Anwar.

Perdana Menteri menegaskan sudah sampai masanya untuk bertindak menghentikan kekejaman Israel dan seterusnya bersama-sama untuk membentuk legasi yang akan diraikan untuk generasi akan datang. -MalaysiaGazette