Gambar Hiasan

JERANTUT – Seorang askar pencen kerugian RM16,000 selepas diperdaya anak saudaranya sendiri.

Ketua Bahagian Jabatan Sisasatn Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa telah melakukan pemindahan wang sebanyak itu bagi membebaskan anaknya yang terlibat dalam kes dadah.

Menurut beliau, mangsa mendakwa telah dihubungi oleh individu yang menyamar sebagai Asisten Supritendan Prakash.

Polis berkenaan telah membuat tawaran untuk membebaskan anak lelakinya yang ditahan oleh narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut di atas kesalahan dadah di bawah Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LPPK) 1985.

Pengadu mendakwa polis tersebut meminta dia berurusan dengan anak saudaranya yang dikenali sebagai Nuar bagi menyediakan wang pembebasan anaknya.

Bekas tentera berusia 62 tahun itu telah meminta isterinya melakukan empat transaksi pemindahan wang pada 17 Jun hingga 25 Jun kepada polis tersebut melalui akaun Maybank atas nama Muhammad Shahrul Nizam.

Bagaimanapun, pada Julai 2021, pengadu telah dihubungi oleh narkotik IPD Jerantut yang memberitahu anaknya akan dihantar ke Simpang Renggam, Johor.

”Pengadu terkejut kerana dia telah membuat bayaran berjumlah RM16,000 untuk pembebasan anaknya,” kata Mohd Wazir.

Mohd Wazir berkata, pengadu telah meminta anak saudaranya memulangkan semula semua wang tersebut namun sehingga hari ini dia tidak menerima sebarang bayaran daripada Nuar.

Mangsa kemudian membuat laporan polis terhadap anak buahnya dan Muhammad Shahrul Nizam.

Mohd Wazir berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette