Datuk Tengku Maimun Tuan Mat menghadiri upacara mengangkat sumpah jawatan sebelas pesuruhjaya kehakiman di Putrajaya.

PUTRAJAYA – Datuk Tengku Maimun Tuan Mat yang baru dilantik sebagai Ketua Hakim Negara mengingatkan sebelas pesuruhjaya kehakiman supaya sentiasa ingat ikrar sumpah jawatan mereka ketika menjalankan tugas kehakiman.

Beliau berkata mereka harus menangani kes-kes dengan berpegang teguh kepada prinsip bebas, tidak berat sebelah dan cekap.

“Mereka mesti memastikan keadilan dilakukan dan bukan hanya perlu dilaksanakan, bahkan mesti dilihat dilaksanakan dan saya berharap semoga mereka melakukan yang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri upacara mengangkat sumpah jawatan sebelas pesuruhjaya kehakiman,

Diminta mengulas pelantikannya sebagai Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun berkata, “Kita tunggu selepas saya mengangkat sumpah jawatan. Segala puji hanya bagi Allah, Alhamdulillah.”

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan semalam berkata Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja memperkenankan pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan itu sebagai Ketua Hakim Negara berkuatkuasa 2 Mei 2019.

Tengku Maimun merupakan hakim wanita pertama dilantik sebagai Ketua Hakim Negara. Beliau menggantikan Tan Sri Richard Malanjum yang bersara wajib pada 12 April.

Sebelas orang pesuruhjaya kehakiman itu menerima surat pelantikan daripada Tengku Maimun dan mereka melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia di hadapan Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Seri David Wong Dak Wah.

Mereka termasuk bekas Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Latifah Mohd Tahar, 57 dan bekas Ketua Bahagian Sivil di Jabatan Peguam Negara Datuk Amarjeet Singh a/l Serjit Singh.

Turut dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman ialah Pengerusi Lembaga Penasihat di Jabatan Perdana Menteri Awang Armadajaya Awang Mahmud, 52, dan Pengarah Pendakwaan Negeri di Jabatan Peguam Negara di Sabah Datuk Duncan Sikodol, 59.

Pesuruhjaya Kehakiman yang lain ialah K. Muniandy, 57, Dr Shahnaz Sulaiman, 50, Evrol Mariette Peters, 51, Christopher Chin Soon Yin, 61, Ong Chee Kwan, 55, Maidzuara Mohammed, 52 dan Mohd Radzi Abdul Hamid.

— BERNAMA

Artikel berkaitan: