Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Food Bank Malaysia, Ab Wahab Long (kanan), Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz (dua kiri) dan Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Radzali Hassan (kiri) menyempurnakan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Food Bank Master Malaysia di Le Meridien, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 03 SEPTEMBER 2019

PUTRAJAYA – Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini menafikan kerajaan menangguhkan bantuan subsidi petrol bersasar golongan B40 kerana kegagalan mengumpul data lengkap pendapatan isi rumah golongan itu di seluruh negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata, program tersebut akan dibentangkan di Kabinet untuk dibentang dan diluluskan.

“Sumber paling boleh dipercayai ialah mesti daripada saya sebagai menteri yang bertanggungjawab. Kita belum bentang di Kbinet lagi macam mana nak tangguhkan.

“Kalau bentang kemudian lulus tetapi tak berjalan, maka kita tangguhlah. Tetaapi ini bentang pun belum, tangguh apa? Jadi soalanya tidak ada kaitan, tidak relevan.

“Sumber rakan-rakan media itu biarlah sumber menteri paling autoritatif,” katanya ketika diminta mengulas mengenai berita penangguhan pelaksanaan bantuan subsidi petrol bersasar golongan B40 hari ini.

Terdahulu beliau hadir melancarkan penganjuran pertandingan golf amal, Food Bank Masters Malaysia 2019.

Pertanding tersebut bertujuan mengumpul dana bagi melicinkan program pelaksanaan Food Bank di 123 universiti awam dan swasta, kolej komuniti, politeknik dan Institut Pendidikan Guru.

Tambah Saifuddin, tiada sebarang masalah penangguhan bantuan subsidi petrol bersasar B40 seperti yang didakwa atau dilaporkan sebelum ini.

“Semua berjalan ikut jadual dan saya akan cuba sedaya mungkin supaya ianya terlaksana itu yang paling penting,” ujarnya.

Sementara itu, Saifuddin memberitahu, kementerian telah menerima RM20 juta daripada kerajaan untuk tujuan berkempen Belilah Barangan Buatan Malaysia.

“Jadi, rakyat Malaysia yang menghasilkan barangan, tak kiralah Melayu, Cina, India,Kadazan, Iban, Daya, Bugis atau Nasution, semua boleh dipromosikan sebagai produk Malaysia.

“Kempen ini akan mempromosikan kempen beli baragan buatan Malaysia dan ia jauh lebih bermakna untuk rakyat dan negara,” katanya. – MalaysiaGazette