Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bersama Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan menyaksikan pemeteraian perjanjian antara Tengku Muhammad Taufik (duduk kiri) dan Sultan bin Ahmed Al Jaber (duduk kanan) di Abu Dhabi. foto FB Tengku Zafrul

ABU DHABI – Petronas Abu Dhabi Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Petroliam Nasional Berhad (Petronas) memeterai perjanjian dengan Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) (ADNOC) untuk meneroka dan menilai Blok 1 Luar Pesisir Bukan Konvensional meliputi kawasan konsesi seluas 2,000 kilometer (km) persegi di wilayah Al Dhafra.

Perjanjian itu ditandatangani di antara Presiden Petronas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Tengku Muhammad Taufik dengan Menteri Industri dan Teknologi Termaju UAE yang juga Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ADNOC, Dr Sultan Ahmed Al Jaber.

Majlis bersejarah itu disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tengku Muhammad berkata, Petronas berbesar hati dapat meneroka peluang dan menilai tenaga bukan konvensional dengan rakan yang progresif seperti ADNOC.

”Perkongsian ini membuktikan kepakaran luar biasa kami yang mendalam di Kanada dan Argentina yang dibangunkan sejak sedekad lalu, dan kami berharap dapat membawa pengalaman ini kepada sumber bertaraf dunia di Abu Dhabi.

“Kerjasama ini nanti akan menyaksikan Petronas meluaskan jejak tenaga bukan konvensional globalnya untuk memasukkan Emiriah Arab Bersatu dalam portfolio sedia ada,” tambahnya.

Sementara itu, Al Jaber berkata, ADNOC gembira dapat bekerjasama dengan Petronas dalam konsesi minyak bukan konvensional yang akan membuka lembaran baharu kerjasama tenaga strategik antara UAE dan Malaysia, dan ia mengukuhkan kedudukan UAE sebagai destinasi pelaburan yang dipercayai.

“Sebagai salah satu pengeluar minyak dan gas yang paling tidak berintensif karbon, ADNOC akan terus membuka nilai secara bertanggungjawab daripada sumber hidrokarbon Abu Dhabi yang luas dengan cara yang boleh dipercayai dan mampan, untuk memacu pertumbuhan ekonomi tempatan dan menyokong keselamatan tenaga global.

Dalam kerjasama ini, Petronas akan memegang 100 peratus ekuiti dan pengendali untuk meneroka dan menilai minyak bukan konvensional di kawasan konsesi untuk tempoh sehingga enam tahun.

Berikutan fasa penilaian yang berjaya, rakan kongsi boleh memasuki konsesi pengeluaran yang ADNOC mempunyai pilihan untuk memegang 50 peratus kepentingan. – MalaysiaGazette