KUALA LUMPUR – Sebanyak 20,000 penyokong dijangka membanjiri Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam ini untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir Piala Malaysia antara Terengganu (TFC) menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).

Malah, tiket perlawanan kedua-dua aksi timbal balik yang dijual secara dalam talian melalui laman web tickethotline habis dijual sejak jualan dibuka pada Jumaat lalu.

“Pihak Terengganu Football Club Sdn. Bhd. telah membuat pembahagian tiket sebanyak 19,500 kepada penyokong tuan rumah dan selebihnya kepada penyokong pelawat.

“Penjualan tiket yang dibuka secara atas talian pada 19 November 2021 (Jumaat) jam 3.00 petang telah habis dijual termasuk bagi bantuan kaunter tiket yang telah dibuka di beberapa tempat,” tulis kenyataan rasmi daripada TFC.

JDT turut mengesahkan tiket perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim pada 26 November ini habis dijual dalam tempoh kurang daripada tujuh jam.

“Terima kasih diucapkan kepada semua penyokong JDT yang menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kelab. Sila pastikan anda mematuhi SOP yang ditetapkan dan jumpa anda di Stadium Sultan Ibrahim,” kata kenyataan rasmi.

Para penyokong wajib membawa kad pengenalan atau pasport asli bersama tiket perlawanan bagi tujuan pengesahan.

Penonton yang tidak membawa kad pengenalan atau pasport tidak dibenarkan masuk ke stadium.

Berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan, setiap penyokong akan dibahagikan tempat duduk mengikut zon di dalam stadium yang telah ditetapkan dan dipisahkan dengan jarak 1.5 meter.

Hanya penyokong sudah lengkap divaksinasi boleh masuk ke stadium selain wajib memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan minum sepanjang berada di stadium.

Kanak-kanak bawah umur 18 tahun yang belum lengkap vaksinasi tidak dibenarkan berada di stadium mengikut SOP yang ditetapkan oleh kerajaan. – MalaysiaGazette