Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming (tengah) diiringi Ketua Setiausaha (KPKT), Datuk M. Noor Azman Taib (dua kanan) bersalaman dengan sebahagian warga kerja kementerian ketika hadir untuk memulakan tugasnya di Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 06 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Pilihan raya kerajaan tempatan bukan satu keutamaan yang perlu disegerakan, kata Nga Kor Ming.

Menurut Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada tujuh fokus utama yang disenaraikan terlebih dahulu bagi memastikan kesejahteraan rakyat diutamakan.

“(Pilihan raya kerajaan tempatan) bukan fokus segera, yang penting pada tahap ini, saya sudah senaraikan tujuh fokus utama, biar kita laksanakan itu dulu, pastikan kesejateraan rakyat menjadi keutamaan kita,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Pada Ahad lalu, media melaporkan Pengerusi Jawatankuasa (Exco) Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, usaha mengembalikan pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan di Perak memerlukan kajian lanjut.

Shy Ching yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja menegaskan, usaha mengembalikan pilihan raya itu tidak disenaraikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) atau dalam kerjasama kerajaan campuran dengan Barisan Nasional (BN).

Ini kerana pelaksanaan pilihan raya itu memerlukan kajian dari segi perundangan, praktikaliti, implikasi kewangan dan kesediaan semua pihak khususnya untuk jangka masa panjang.

Isu pilihan raya kerajaan tempatan sebelum ini menjadi isu nasional dan ramai tidak bersetuju mengenainya termasuk dalam Kabinet lepas tapi menjadi perjuangan konsisten DAP. – MalaysiaGazette