Dr Ong Kian Ming
Ong Kian Ming

KUALA LUMPURĀ – Kerajaan Persekutuan perlu melakukan pindaan ke atas 19 akta berkaitan sebelum boleh meratifikasikan Perkongsian Komprehensif dan Progresif Trans-Pasifik (CPTPP).

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr. Ong Kian Ming berkata, setakat ini hanya dua akta berkaitan sahaja telah dibuat pindaan.

“Daripada 19 akta yang perlu dipinda untuk meratifikasikan CPTPP ini, dua akta telah dilengkapkan pada awal tahun ini.

“Kita masih tunggu lagi 17 akta untuk dipinda untuk melengkapkan proses meratifikasikan CPTPP ini,” katanya pada sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negara, Datuk Chai Kim Sen meminta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyatakan jumlah akta yang perlu dipinda bagi membolehkan CPTPP dilaksanakan.

Kian Ming berkata, pada masa ini kerajaan masih memerlukan masa berkaitan perjanjian itu untuk memastikan sebarang keputusan yang diambil akan memberi kebaikan kepada Malaysia.

“Sehinga kini, tiga negara iaitu Mexico, Jepun dan Singapura telah melengkapkan proses domestik masing-masing dan CPTPP dijangka akan berkuatkuasa pada awal tahun 2019,” katanya.

Katanya lagi, penjanjian CPTPP hanya akan berkuat kuasa sebaik sahaja sekurang-kurangnya enam negara atau 50 peratus daripada negara asal yang menandatangani telah melengkapkan proses ratifikasi.

“Bagi negara yang telah menandatangani CPTPP tetapi masih belum meratifikasi perjanjian ini, ia tidak akan berkuat kuasa bagi negara tersebut sehingga proses tersebut selesai,” katanya lagi. – MalaysiaGazette