Ali Biju

KUALA LUMPUR – Sebagai langkah panjang bagi menangani isu pembalakan haram, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) telah melaksanakan pindaan terhadap Akta 313.

Timbalan Menterinya, Datuk Ali Biju berkata, pindaan itu jika diluluskan pada persidangan Parlimen Julai ini akan memantapkan pengurusan kawasan Hutan Simpan Kekal, di samping meningkatkan keberkesanan kawasan hutan.

Kata beliau, Rang Undang-Undang (RUU) pindaan 2022 telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 3 Mac lalu.

“Perundangan ini telah mengambil masa 13 tahun untuk dimuktamadkan dan dibawa ke Parlimen Julai ini untuk bacaan kali kedua.

“Antara perkara penting diberi penekanan dalam pindaan Akta 313 adalah membanteras kegiatan pembalakan haram dengan meningkatkan kadar denda maksimum sehingga 10 kali ganda dari RM500,000 kepada RM5 juta.

“Manakala hukuman penjara maksimum dinaikkan daripada tujuh hingga 20 tahun bagi kesalahan ini,” katanya pada ucapan penggulungan Titah Diraja Dewan Negara di Parlimen petang ini.

Menjawab perbahasan yang dibangkitkan Senator Datuk Dr. Ahmad Azam Hamzah, beliau berkata, KeTSA sentiasa komited memelihara khazanah hutan negara.

Katanya, ketika ini, negara masih mempunyai kawasan berhutan seluas 18.27 juta hektar atau 55.3 peratus daripada keluasan tanah negara.

“Kita tidak berkompromi terhadap pembalakan haram. Ini dibuktikan sepanjang tempoh 2020 hingga 2021 sebanyak 272 kes pembalakan haram telah direkodkan di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, 111 kes direkodkan di Semenanjung Malaysia, 35 kes di Sabah dan 129 kes di Sarawak,” katanya.

Kata Ali, bagi membanteras kegiatan itu, KeTSA melalui JPSM turut bekerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan di peringkat Persekutuan dan negeri melalui operasi penguatkuasaan secara bersepadu.

“Antara agensi terlibat ialah polis, Pejabat Tanah dan Galian Negeri, Perhilitan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Sepanjang tahun 2021, sebanyak 56 operasi penguatkuasaan bersepadu telah dijalankan oleh JPSM,” katanya. – MalaysiaGazette