Mohamed Nizham Abdullah Hamidi

KUALA LUMPUR – Garis panduan baharu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenai penjualan dan penggunaan alkohol di bandaraya itu merupakan langkah tepat kerajaan dalam usaha mengurangkan jenayah sosial melibatkan arak.

Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan menyokong penuh keputusan itu dengan meminta sesi libat urus harus dilakukan berterusan agar masyarakat dan pemilik perniagaan dapat memahami kewajaran dasar berkenaan.

Ketuanya, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi berharap, polisi itu bukan sahaja dapat mencegah lebih banyak kes pemandu mabuk, tetapi mengurangkan masalah keganasan rumah tangga akibat pengambilan alkohol.

Kata beliau, penyalahgunaan alkohol membawa kepada peningkatan bahaya sosial dan selalunya melibatkan kemalangan kenderaan, keganasan rumah tangga dan juga gangguan sosial.

“Bagaimana kita akan menguruskan masalah ini jika kita tidak membuat dasar untuk mencegah masalah alkohol?

“Kita percaya pencegahan dan panduan baharu DBKL ini adalah langkah pertama yang baik dan perlu diteruskan.

“Kita juga menyedari tindak balas Ahli Parlimen DAP terhadap keputusan dasar ini,” katanya dalam hantaran Facebooknya, hari ini.

DBKL dalam kenyataannya baru-baru ini, memperkenalkan garis panduan baharu mengenai lesen minuman keras yang mula berkuat kuasa pada Ahad 15 November lalu.

Antara lain, garis panduan itu menetapkan, kedai runcit dan kedai serbaneka tidak lagi dibenarkan menjual produk minuman keras mulai 1 Oktober tahun depan.

Kedai menjual ubat tradisional Cina juga dikenakan larangan itu, tetapi pengecualian dibuat untuk produk minuman keras bagi “tujuan ubatan tradisional”.

Serentak itu juga, DAP Wilayah Persekutuan dikatakan akan mengumpul bantahan daripada pihak berkepentingan yang terjejas dengan peraturan baru penjualan arak beralkohol tinggi (liquor) oleh DBKL.

Pengerusinya, Tan Kok Wai berkata, dia akan mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk memohon agar keputusan itu ditarik balik.

Menurut Mohamed Nizham, sudah tentu keputusan polisi DBKL itu akan memberikan kesan kepada pemain industri, tetapi kerajaan juga ada masalah lebih besar untuk ditanganinya.

“Semua pihak berkepentingan dalam industri alkohol harus bertanggungjawab dalam masalah alkohol. Tidak ada yang hanya boleh menutup mata dan menjana wang dari industri ini.

“Kami ingin mendengar jalan keluar dan cadangan dasar alternatif, tetapi sayangnya, bagi beberapa Ahli Parlimen di Kuala Lumpur, apa yang mereka lakukan hanya mengeluh dan membangkang.

“Anda tidak perlu menjadi Ahli Parlimen untuk melakukannya,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. KL pada asalnya adalah bebas arak sebelum budaya tersebut dibawa masuk oleh penjajah dan kaum2 pendatang!

    Jom dapatkan semula hak2 ASAL bebas arak tersebut!

Comments are closed.