LONDON – Arsenal membatalkan latihan jelajah pra musim ke Amerika Syarikat (AS) selepas terdapat individu dalam pasukan itu diuji positif Covid-19.

The Gunners dijadual beraksi pada kejohanan Piala Florida bersama Inter Milan, Everton dan Millonarios dari Columbia.

Namun kelab dari London itu tidak menyatakan secara terperinci jumlah ahli pasukan itu disahkan positif dan sama ada pemain turut terlibat.

“Keputusan sukar (batal pramusim) ini diambil demi memastikan kesihatan dan kesejahteraan pemain dan kakitangan pasukan.

“Kita memahami sepenuhnya kekecewaan yang dialami penyokongh the Gunners di AS yang sabar menantikan kehadiran kami dalam Florida Cup sebahagian daripada jelajah pra musim kami.

“Kami memohon maaf kepada penganjur Piala Florida yang telah melakukan yang terbaik dalam persiapan dan penganjuran perlawanan itu.

“Kita sedang dalam proses melakukan persiapan alternatif sejajar kehendak protokol Liga Perdana Inggeris untuk meneruskan persiapan kami berdepan musim EPL 2021/22,” katanya dalam kenyataan.

Penganjur Piala Florida tidak mengumumkan pasukan yang akan menggantikan Arsenal. – MalaysiaGazette