Faiz Fadzil
Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) menyifatkan skim baharu potongan gaji berjadual pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai tidak adil kepada peminjam yang membayar secara konsisten setiap bulan.

Timbalan Ketuanya, Faiz Fadzil berkata, lebih parah lagi ada peminjam terpaksa membayar sehingga dua kali ganda daripada jumlah pembayaran asal sebelum ini.

Beliau berkata, seramai 455,797 peminjam bayar secara konsisten setiap bulan dan sekiranya pendapatan mereka mencecah RM8,000 sebulan, jumlah bayaran bawah skim baharu akan meningkat kepada RM1,200, iaitu 15 peratus pendapatan bulanan.

“Walaupun pendapatan dilihat tinggi, mereka juga terbeban dengan perbelanjaan lain seperti hutang rumah, kereta dan perbelanjaan pendidikan anak yang sama pentingnya.

“Dengan jumlah bayaran balik melampau tinggi terutama bagi golongan M40, sudah pasti perbelanjaan mereka akan terjejas teruk dan bukan sahaja perlu menstruktur semula perbelanjaan kredit mereka, malah kemungkinan berhadapan tindakan undang-undang jika pinjaman lain tidak mampu dibayar,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir berkata, Pemuda PAN sedar tunggakan hutang PTPTN sebanyak RM40 bilion perlu dibayar.

Tetapi, katanya, pihak PTPTN perlu memastikan pembayaran balik itu adil, tidak membebankan peminjam.

“Pelanggaran kontrak ini tidak sewajarnya berlaku apatah lagi pembayaran baharu dilihat lebih membebankan peminjam.

“Skim potongan gaji berjadual ini tidak seharusnya dilaksanakan secara semborono tanpa konsultasi dengan peminjam dan PTPTN disaran lebih bersikap fleksibel dalam pelaksanaan skim itu dengan mendapatkan terlebih dahulu data perbelanjaan dan tanggungan bulanan peminjam,” katanya.

Beliau menggesa pihak PTPTN mengkaji semula skim pembayaran itu dan mengadakan perbincangan dengan semua pemegang taruh termasuk peminjam PTPTN dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) untuk merangka mekanisme pembayaran lebih adil dan tidak membebankan peminjam. – MalaysiaGazette