S.A Vigneswaran

ISKANDAR PUTERI – Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran akur dengan kompaun dikenakan ke atasnya kerana melanggar prosedur standard operasi (SOP) semasa Majlis Pelancaran Briged MIC Johor di sini hari ini.

Apa yang berlaku, katanya, sememangnya tidak dijangka memandangkan program sukar dikawal daripada segi SOP terutama melibatkan jumlah yang ramai.

“Saya akur, Menteri Kesihatan (Khairy Jamaluddin) sudah keluarkan kompaun. Saya mana boleh jangka kompaun ini, kita dalam kerajaan yang sama pun kena saman.

“Program petang ini bertujuan tingkatkan keyakinan pengundi kepada BN, bukan kami semua sengaja langgar SOP,” katanya pada sidang media di Stadium Tertutup Educity di sini hari ini.

Menteri Kesihatan menerusi ciapan Twitternya sebentar tadi mengarahkan pegawai kementeriannya agar memgeluarkan kompuan terhadap tiga pimpinan Barisan Nasional (BN) yang hadir ke pelancaran Briged MIC Johor pada Ahad kerana melanggar prosedur standard operasi (SOP).

Jelasnya, kompaun itu akan dikenakan terhadap Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein serta Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad.

Majlis Pelancaran Briged MIC Negeri Johor diadakan di Stadium Tertutup Educity di sini kira-kira pukul 5 petang dan berakhir dua jam kemudian.

Kira-kira 3,000 ahli MIC hadir pada program berkenaan yang dirasmikan Ketua Penyelaras PRN Johor, Datuk Hasni Mohammad.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kalau saya kena kompaun saya reda – Hishammuddin