Vladimir Putin. Foto TASS

MOSCOW – Presiden Rusia Vladimir Putin menyifatkan situasi di Semenanjung Gaza sebagai ‘malapetaka kemanusiaan’, lapor Agensi Anadolu (AA).

Bercakap pada satu mesyuarat di Moscow pada Rabu, Putin berkata: “orang yang tidak bersalah tidak sepatutnya menjadi mangsa untuk jenayah yang dilakukan oleh orang lain.”

Putin turut mengulangi pendirian Rusia mengenai penyelesaian dua negara untuk krisis Palestin dan Israel, sambil menegaskan bahawa ia kunci kepada penyelesaian jangka panjang dan asas untuk perdamaian di Asia Barat.

“Tugas utama adalah untuk menghentikan pertumpahan darah dan keganasan. Krisis yang lebih serius membawa kepada akibat yang lebih buruk dan sangat berbahaya tidak hanya untuk Asia Barat malah boleh merebak ke rantau lain,” katanya.

Beliau turut mengutuk cubaan “beberapa pihak” yang memainkan sentimen agama dan negara untuk mewujudkan ketidakstabilan dan kekacauan demi kepentingan mereka. – BERNAMA-ANADOLU