Ashraf Ghani. foto Reuters

ABU DHABI – Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani kini berlindung di Emiriah Arab Bersatu (UAE), kata negara Teluk itu.

Ghani meninggalkan Afghanistan ketika Taliban mula menguasai Kabul pada hujung minggu lalu.

Kementerian Luar UAE berkata, negara itu telah menyambut Ghani dan keluarganya atas alasan kemanusiaan.

Dalam rakaman ucapan pada hari Rabu, Ghani menafikan melarikan diri.

Sebaliknya, beliau mendakwa terpaksa meninggalkan negara untuk mengelakkan ‘bencana besar’.

“Buat masa ini, saya berada di Emirates sehingga pertumpahan darah dan kekacauan dihentikan.

“Saya sedang dalam perbincangan untuk kembali ke Afghanistan,” katanya.

Ghani juga menafikan dakwaan beliau ke UAE dengan sejumlah wang.

Beliau menyifatkan spekulasi itu tidak berasas dan satu pembohongan.

Ghani, 72, menghadapi kritikan hebat dalam kalangan ahli politik Afghanistan yang lain kerana meninggalkan negaranya.

“Tuhan akan menanggungnya dan bangsa juga akan menghakimi kamu,” kata Abdullah Abdullah, Ketua Majlis Tinggi Pendamaian Afghanistan.

Timbalan Setiausaha Negara, Wendy Sherman pula berkata, Ghani bukan sesiapa lagi di Afghanistan.

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden juga mengkritik pemerintah Afghanistan kerana melarikan diri.

Ghani berkata, beliau dibawa keluar oleh pasukan keselamatannya dari istana presiden “dalam keadaan di mana dia tidak sempat memakai kasut.

“Peristiwa berlaku dengan cepat. Saya ingin berunding pemerintah yang inklusif dengan Taliban,” katanya, sambil menambah beliau menyokong perbincangan antara Taliban dan bekas pegawai pentadbirannya.

Ghani mula memegang jawatan itu pada tahun 2014 dan dipilih semula pada Februari 2020. – BBC